
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata ribut petir adalah kejadian biasa, tetapi ia boleh mengundang bahaya jika ia menghasilkan kilat.
Kebanyakan kes kematian dan kecederaan disebabkan sambaran kilat berlaku apabila mereka berada di luar kerana udara di sekitar sambaran kilat memanas sehingga 20,000 ‘c, lebih panas daripada permukaan matahari.
Kilat seringkali berlaku di luar kawasan hujan lebat dan boleh berlaku sejauh 16km dari mana-mana kawasan hujan.
Berdasarkan laman web MetMalaysia, ribut petir boleh berlaku sepanjang tahun tetapi ia sering berlaku semasa peralihan monsun iaitu April-May dan Oktober-November.
“Di darat, ribut petir kerap berlaku pada waktu tengahari dan sebelah petang, manakala di laut, ia kerap berlaku pada waktu malam,” menurut jabatan itu.
Berdasarkan laporan oleh The Star, Malaysia merupakan salah satu negara paling banyak berlaku sambaran kilat di dunia.
Menurut Pengarah Pusat Elektromagnet dan Penyelidikan Perlindungan Kilat (CELP), Universiti Putra Malaysia
Dr Mohd Zainal Abidin Ab Kadir, Malaysia pernah berdepan lebih 1 juta sambaran kilat setahun.
Kata Zainal yang dilaporkan akhbar harian itu, dari 2008 hingga Selasa lepas, data CELP menunjukkan kilat sudah membunuh 112 orang dan mencederakan 156 yang lain.
Beliau menasihati rakyat Malaysia memeriksa ramalan cuaca sebelum membuat aktiviti luar, mereka kena buat aktiviti di dalam bangunan jika terdengar petir.
Bagaimanapun, MetMalaysia memberi tips jika seseorang itu berada di luar semasa petir dengan mencari tempat yang rendah untuk berlindung dan menjauhi pokok, pagar dan tiang.
“Jika kulit anda terasa gatal dan bulu roma berdiri, anda kena mencangkung di tanah, letakkan kedua belah tangan ke lutut dan rendahkan kepala anda di antara kedua lutut supaya kemungkinan anda menjadi sasaran kilat lebih kecil serta kurangkan bersentuhan dengan tanah, katanya.
Pada 12 Mac lalu, sepasang suami isteri dipercayai mati selepas diserang kilat di Puchong Jaya.
Polis berkata, Yee Boon Koo, 59, dan isterinya, Ooi Lee Chen, 57, dilihat sedang berjoging semasa kejadian dan mereka dipercayai mati serta merta.