Hasil pelancongan perubatan cecah RM1 bilion

Hasil pelancongan perubatan cecah RM1 bilion

Ramai yang tidak sedar Malaysia destinasi rawatan perubatan yang mendapat pengiktirafan dunia, kata Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia.

Sherene-Azli-tourism2
KUALA LUMPUR: Industri pelancongan perubatan berkembang 25% pada 2016, dianggarkan meraih RM1.15 bilion hasil hospital, lapor Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC).

Ketua Pegawai Eksekutif MHTC Sherene Azli berkata perkembangan ini mengalakkan kerana pelancong perubatan berbelanja paling besar dalam kalangan pengunjung ke negara ini.

“Untuk setiap ringgit yang pelancong perubatan belanjakan untuk bil hospital, dianggarkan pesakit membelanjakan RM3 untuk perbelanjaan di luar hospital,” katanya, dan menambah ia termasuk kemudahan lain seperti penginapan dan pengangkutan.

Hasil RM1.15 bilion itu daripada bil perubatan pelancong yang mendapatkan rawatan perubatan di hospital swasta di sini.

“Pelancong perubatan kita kebanyakannya dari Indonesia, China, India, Australia, United Kingdom dan Timur Tengah,” katanya di forum penjagaan kesihatan anjuran Institut Strategi dan Kepemimpinan Asia (Asli) di sini hari ini.

Sherene berkata industri pelancongan perubatan Malaysia terus berkembang tahun demi tahun kerana kualiti, kebolehcapaian dan kemampuan kemudahan penjagaan kesihatan swastal.

Kerana itu Malaysia memenangi anugerah destinasi pelancongan perubatan 2015 dan 2016 oleh Jurnal Pelancongan Perubatan Antarabangsa, katanya.

Malaysia juga dinamakan sebagai negara yang memiliki penjagaan kesihatan terbaik di dunia dalam Indeks Persaraan Global Tahunan oleh International Living pada 2015, 2016 dan 2017.

Namun begitu, Sherene merasakan masih banyak yang perlu dilakukan untuk meningkatkan kesedaran mengenai pelancongan perubatan di Malaysia.

“Walaupun kita terima pengiktirafan selama ini, ramai yang tidak sedar Malaysia pilihan yang sangat berdaya maju.

“Oleh itu, kita perlu memasarkan diri kita lagi,” katanya, dan menambah negara seperti Korea Selatan mempunyai kelebihan dari segi belanjawan pengiklanan yang lebih besar untuk industri pelancongan perubatan.

Sherene berkata itu hanya salah satu daripada perkara yang perlu ditingkatkan.

Beliau menambah pengalaman pelanggan menjadi fokus utama. “Kita mahu penuhi sebarang kekurangan dalam pengalaman pelanggan seperti meningkatkan penjagaan pasca-rawatan dan memastikan pengalaman terbaik.”

Beliau berkata untuk tujuan ini, MHTC mempunyai perkhidmatan rencam dan istirehat di KLIA dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dengan perkhidmatan bertemu dan beramah mesra untuk pelancong perubatan, pemudahan imigresen dan peluang kepada pelancong perubatan untuk berehat sambil menunggu untuk pengangkutan mereka ke hospital.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.