Cubaan sumbat lembu curi dalam Toyota Vios gagal

Cubaan sumbat lembu curi dalam Toyota Vios gagal

Penduduk kampung percaya lembu itu diberi ubat pelali oleh 3 pencuri itu bagi melemahkannya kerana terdapat ubat berkenaan dalam kereta tersebut.

cow-steal
KUANTAN: Cubaan 3 lelaki mencuri seekor lembu di Kampung Pantai Sepat di sini gagal, selepas tindakan mereka cuba memuatkan lembu itu ke dalam kereta Toyota Vios disedari seorang penduduk pagi tadi.

Saksi, Mohd Amirul Azahar, 24, berkata beliau menyedari kejadian itu sekitar 6.30 pagi, semasa dalam perjalanan ke Kampung Cempaka untuk menangkap ikan.

“Tiga lelaki itu kemudiannya melarikan diri ke dalam belukar berhampiran, apabila menyedari kehadiran saya.

“Saya kemudiannya memanggil penduduk kampung dan kami berpecah untuk mencari mereka, tetapi tidak jumpa,” katanya kepada pemberita.

Amirul berkata, penduduk kampung percaya lembu itu diberi ubat pelali bagi melemahkannya kerana terdapat ubat berkenaan dalam kereta tersebut.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Abdul Aziz Salleh semasa dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata polis sedang mengesan pemilik kenderaan itu.

“Bagaimanapun, sehingga kini, kami masih belum menerima laporan polis daripada pemilik lembu itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.