
Sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (PSC), Entulu yang dipetik The Borneo Post berkongsi maklumat mengenai jenis pekerjaan yang diminati pemohon Cina.
“Terdapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat Cina yang mahu berkhidmat dalam sektor awam. Berdasarkan data PSC, pemohon Cina terdiri daripada 26,661 orang atau 1.71% daripada keseluruhan 1,561,206 permohonan yang diterima portal PSC tahun lalu.
“Jawatan pegawai imigresen paling ramai mohon, disusuli pembantu penguasa kastam, pegawai tadbir dan diplomatik, penguasa imigresen, pegawai perubatan, latihan penolong pegawai farmasi, latihan penolong pegawai perubatan dan penguasa kastam,” katanya kepada akhbar harian berpangkalan di Sarawak itu semalam.
Entulu yang juga ahli Parlimen Selangau berkata, PSC akan menilai semua permohonan secara adil.
“Dasar pengambilan diamalkan PSC berasaskan merit dan kecekapan calon, di mana semua pemohon dilayan dengan adil tanpa mengira kaum, agama dan jantina. Ini bermakna semua orang mempunyai peluang sama untuk dipertimbangkan dalam saingan terbuka ini.
“Ramai calon salah faham konsep meritokrasi. Untuk tujuan penempatan pekerjaan, meritokrasi bukan sahaja termasuk akademik, tetapi juga sikap, penampilan diri dan kadangkala latar belakang peribadi serta keluarga,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan akan memastikan hanya calon berkualiti tanpa mengira kaum, agama dan jantina diambil menjadi penjawat awam.
Selain PSC, portfolio Entulu turut meliputi Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (Mampu) serta Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).
“Dengan dasar pengambilan berasaskan merit dan kecekapan calon – ia memberi peluang adil kepada semua calon yang layak.”