Kelantan isytihar wabak H5N1 bencana negeri, kata exco

Kelantan isytihar wabak H5N1 bencana negeri, kata exco

Dua kawasan terbaru dikesan ialah Kampung Dusun Durian di Bachok dan Kampung Bukit Merbau di Pasir Puteh, manakala Kota Bharu ialah jajahan paling terjejas membabitkan 18 kampung.

Che-Ani-Mat-Zain
KOTA BHARU:
Kerajaan negeri Kelantan mengisytiharkan wabak selesema burung (H5N1) sebagai bencana negeri berikutan wabak itu merebak di 2 lagi jajahan, iaitu Bachok dan Pasir Puteh, selepas Kota Bharu dan Pasir Mas, kata exco negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, keputusan itu dibuat di mesyuarat exco kerajaan negeri hari ini mengikut Perintah Majlis Keselamatan Negara 20 (MKN 20).

“Berikutan keputusan tersebut, semua agensi yang berkaitan akan digerakkan untuk mengambil pelbagai langkah pencegahan bagi mengelakkan wabak selesema burung itu atau H5N1 itu terus merebak,” katanya selepas mesyuarat di Kompleks Kota Darul Naim di sini.

Virus H5N1 yang menyerang unggas itu dikesan di Kampung Pulau Tebu, Tunjong, pada 6 Mac lalu setelah beberapa ekor ayam kampung mati.

Che Abdullah berkata, wabak berkenaan merebak dengan cepat meskipun kerajaan negeri menerusi Jabatan Perkhidmatan Veterinar sudah mengambil langkah awal, sebaik ia disahkan positif di Kampung Pulau Tebu.

“Dua kawasan terbaru yang dikesan adalah di Kampung Dusun Durian, Bachok dan Kampung Bukit Merbau, Pasir Puteh. Kota Bharu menjadi jajahan paling terjejas membabitkan 18 kampung setakat ini,” katanya.

Sehingga kini, katanya, sebanyak 23,768 unggas dan 881 telur dimusnahkan membabitkan 129 premis sebagai langkah pencegahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.