AFC: Malaysia lawan Korea Utara 8 Jun di gelanggang berkecuali

AFC: Malaysia lawan Korea Utara 8 Jun di gelanggang berkecuali

AFC akan menentukan gelanggang baharu bagi pihak Korea Utara sebelum 8 Mei ini, jika negara itu gagal mencadangkan venue baharu sebelum 14 April ini.

bola-afc
KUALA LUMPUR:
Perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 antara Malaysia dan Korea Utara akan diadakan pada 8 Jun ini, demikian diumumkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) hari ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Windsor Paul ketika mengumumkan tarikh baharu itu berkata, Korea Utara diberi tempoh sebulan bermula 13 Mac hingga 14 April ini untuk mencadangkan venue baharu perlawanan.

Sekiranya Korea Utara gagal mencadangkan venue baharu, katanya, AFC akan menentukan gelanggang baharu bagi pihak negara itu sebelum 8 Mei ini.

Pertemuan pembukaan Kumpulan B itu yang sepatutnya diadakan di Pyongyang pada 28 Mac ini, ditangguhkan atas permohonan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengadakan perlawanan itu di gelanggang berkecuali kerana faktor keselamatan.

Ini berikutan situasi tegang hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara selepas pembunuhan Kim Jong Nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un di Lapangan Terbangan Antarabangsa KL 2 (klia2) pada 13 Februari lalu.

Windsor berkata, Korea Utara bukan sahaja perlu mencadangkan venue berkecuali, tetapi mereka juga harus memberi jaminan keselamatan dan visa khusus untuk pemain, media, pegawai dan peminat bola sepak.

Seandainya venue berkecuali dipilih untuk perlawanan pertama, maka perlawanan timbal balik antara kedua-dua pasukan itu juga akan diadakan di venue berkecuali, katanya pada taklimat media di sini.

Katanya, tarikh baharu itu diputuskan Jawatankuasa Pertandingan AFC.

“Kami perlu mengadakan perlawanan mengikut jadual Fifa dan sekiranya tidak, pemain tidak akan mendapat pelepasan dari kelab masing-masing,” katanya.

Harimau Malaysia dilarang ke Korea Utara

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.