
Bekas perdana menteri itu menjawab kenyataan Ahli Parlimen Sekijang Anuar Manap yang mendakwa status pegangan kekal yang diberikan itu hanya untuk hak milik strata.
“Mungkin dia tidak faham bahasa Melayu. Semua orang tahu tanah tersebut bebas dan milik kekal. Jika dia tidak faham, dia mesti kembali ke sekolah,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat majlis pimpinan tertinggi parti.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) merujuk kepada iklan yang dilihat pada tiang lampu menawarkan hartanah milik kekal di Forest City.
Gambar di samping iklan itu, bersama isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, sambil membuat isyarat tidak bagus menjadi tular di media sosial sejak minggu lepas.
Memetik laporan Bloomberg, Dr Mahathir sebelum ini mengkritik projek Forest City, yang beliau khuatiri akan menyaksikan warga China membeli kebanyakan hartanah yang dijual.
Seluas 13,86 hektar, Forest City dibina di atas 4 pulau buatan dalam wilayah Iskandar Malaysia. Menelan belanja RM100 bilion, ia dijangka siap dalam masa 20 tahun.
Dr Mahathir dalam catatan di blog hari ini berkata meskipun kerajaan mendakwa tanah yang dijual kepada warga China itu hanya pegangan pajak 99 tahun, iklan pula menunjukkan sebaliknya.
“Walaupun rakyat Malaysia boleh beli flat yang sedang dibina, tetapi 90% lebih dari pembeli ialah rakyat negara China,” kata Dr Mahathir.
Menurut beliau, undang-undang Malaysia membolehkan mereka yang menetap selepas 12 tahun memohon menjadi warganegara. “Tidak ada jaminan ini tidak akan berlaku. Bahkan dengan sokongan orang kuat masa boleh dipendekkan,” dakwanya.
“Forest City ini pula diberi status bebas cukai. Status bebas cukai Langkawi sudah ditarik balik kerana merugikan kerajaan,” tambahnya.
Dr Mahathir bagaimanapun dibidas Sultan Johor Sultan Ibrahim Ismail kerana cuba menakut-nakutkan rakyat.
Dr Mahathir alu-alukan laporan polis ‘bodoh’ mengenai Forest City