Jadi suami isteri sah masih belum selamat serbuan khalwat?

Jadi suami isteri sah masih belum selamat serbuan khalwat?

Pasangan suami isteri Islam di Malaysia disarankan sentiasa membawa kad perakuan status nikah yang dikeluarkan sesetengah negeri.

kahwin-khalwat
PETALING JAYA: Walaupun membawa kad perakuan nikah dan sijil nikah bukan satu kewajipan, pasangan suami isteri Islam di Malaysia perlu bersedia jika pihak berkuasa agama membuat serbuan apabila ada laporan yang menuduh mereka berkesedudukan atau berkhalwat.

Oleh itu, peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader mencadangkan suami isteri membawa kad perakuan status kahwin mereka setiap kali bercuti atau menginap di hotel.

“Ia bukan satu kewajipan, tapi seeloknya dibawa sebagai langkah keselamatan memandangkan bukan semua negeri mengeluarkannya,” katanya kepada FMT, diminta mengulas prosedur standard tangkapan khalwat yang dijelaskan seorang pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) baru-baru ini.

Semalam, seorang pegawai Jais menghuraikan bagaimana pihak berkuasa agama itu menjalankan tangkapan khalwat di hotel selepas menerima laporan orang awam.

Selepas mendapatkan kunci, pegawai akan memberikan salam sebanyak 3 kali dan meminta izin masuk.

“Jika jawapan suami dan berkata ‘saya dengan isteri saya dan saya tidak membenarkan anda untuk masuk’ maka, secara semula jadi, kami akan meminta bukti bahawa wanita itu memang isterinya.

“Jika dia boleh menunjukkan bukti, maka itulah (tiada tindakan)… jika dia tidak boleh (tunjuk bukti), kita mengambil tindakan.”

Baru-baru ini, pasangan suami isteri Mohd Ridhuan Giman dan Siti Sarah Maulad Abdullah memfailkan saman terhadap Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) kerana menyerang dan menangkap khalwat mereka pada 8 Januari.

Jawi turut didakwa menyalahgunakan kuasa penjawat awam dan melanggar hak kebebasan asasi manusia di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Sijil luar negara

Difahamkan, hanya pihak berkuasa di sesetengah negeri sahaja yang mengeluarkan kad khas perakuan kahwin kepada pasangan berkahwin.

Negeri terlibat ialah Wilayah Persekutuan, Selangor, Kelantan, Kedah, Johor, Pahang dan Terengganu.

Akberdin berkata, pihak berkuasa agama juga mempunyai kuasa mengambil tindakan terhadap suami isteri yang mempunyai sijil nikah luar negara yang tidak didaftarkan di Malaysia.

“Jabatan agama berhak bertindak kepada pasangan itu jika timbul keraguan yang membolehkan mereka membuat siasatan dan mengesahkan dengan pihak agama negara terbabit, sebagai contoh isu yang melibatkan Aida Rahim sebelum ini,” katanya, merujuk kes melibatkan pelakon terkenal, yang sijil kahwinnya dari Thailand tidak diterima Jais, beberapa tahun lalu.

Akberdin mempertahankan tindakan Jais itu kerana “banyak kes kahwin sindiket di mana pasangan bernikah di luar negara tetapi tidak mempunyai sijil nikah yang disahkan oleh pejabat agama”.

“Selepas jabatan agama membuat semakan dengan negara terbabit, ia bergantung kepada pihak berkuasa agama untuk membuat sebarang tindakan sebelum membebaskan mereka.”

Menurutnya, pasangan boleh dikenakan tindakan kerana tidak mendaftar pernikahan luar negara, atau kesalahan berpoligami tanpa izin, walaupun pernikahan mereka sah dari segi syariat Islam.

“Pasangan yang bernikah senyap-senyap perlu mendaftarkan pernikahan mereka di bawah Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Keluarga Islam 1991,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.