
Bekas perdana menteri itu berkata, ini kerana Forest City menawarkan hak milik tanah kekal (freehold) kepada pembelinya seperti diiklankan di papan tanda sepanjang bandar itu.
“Mengikut undang-undang Malaysia selepas 12 tahun mereka berhak menjadi warganegara Malaysia dengan hak mengundi. Tidak ada jaminan ini tidak akan berlaku. Bahkan dengan sokongan orang kuat masa boleh dipendekkan.
“Sesungguhnya Malaysia amat pemurah. Siapa sahaja boleh tinggal di sini,” katanya dalam nada sinis.
Menurutnya, ramai rakyat Malaysia gagal memohon status tanah kekal.
“Tetapi nampaknya orang asing boleh dapat secara kekal. Kata pepatah Melayu (yang tidak perlu kita pedulikan), ‘anak di rumah kelaparan, kera di hutan disusukan’. Kesian,” tulis Dr Mahathir dalam catatan terkini blognya.
Beliau kagum dengan keindahan bandar itu, yang dibina di atas 4 pulau buatan manusia berhampiran Pelabuhan Tanjung Pelepas.
“Jalan kelas satu yang agak panjang telah dibina ke arah Forest City. Apabila sahaja memasuki jalan dalam kawasannya, tiba-tiba landscaping yang cantik luar biasa menghiasi jalan.”
Awal tahun ini, kritikan Dr Mahathir terhadap usaha Forest City menarik pembeli hartanah dari China mengundang kenyataan pedas Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, yang menuduhnya cuba memainkan “politik perkauman”.
“Dia menghina pelabur hartanah China yang kaya ini. Mereka bukannya mahu kerakyatan Malaysia. Ramai antara mereka ada hartanah di negara lain termasuk Australia dan United Kingdom,” kata Sultan Johor dalam wawancara bersama sebuah akhbar tempatan.
Pembinaan Forest City itu dikatakan bakal menyaksikan kebanjiran pembeli hartanah China ke Johor. Usaha promosi giat dilakukan, dan bakal pembeli diterbangkan khas untuk mengunjungi bandar tersebut.