
“Saya adalah sahabat Malaysia, sahabat sejati seluruh Malaysia,” katanya dipetik Bernama.
Awal bulan ini, bekas duta Malaysia ke Kanada, Datuk Dennis Ignatius menulis dalam FMT berkata penglibatan Huang dalam politik tempatan semakin menyerlah apabila beliau dilihat kerap bersama pemimpin parti terutama MCA menjelajah seluruh negara.
Kata Dennis, penglibatan China dilihat melalui sokongan terbuka diplomatnya terhadap kerajaan BN termasuk melalui kehadiran pegawai kedutaan di program politik melibatkan Umno, MCA dan Gerakan.
“Ada yang berhujah tindakan sedemikian menjadikan MCA sebagai penggerak utama pengaruh dan propaganda China di negara ini kini,” katanya.
Bagaimanapun, Huang semalam berkata beliau menjalin hubungan rapat
dengan semua pihak termasuk parti pembangkang.
Beliau memberi contoh lawatan rasminya ke Pulau Pinang yang diterajui DAP.
“Saya menjelajah ke serata bandar dan negeri di Malaysia, saya sudah banyak
kali melawat Pulau Pinang, bertemu Ketua Menteri Pulau Pinang… saya juga
menghadiri majlis perasmian Jambatan Kedua Pulau Pinang (Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah),” katanya dipetik Bernama, selepas bertemu Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah di Alor Setar semalam.
Lawatan Datuk Seri Najib Razak ke Beijing disertai 8 menteri dan 3 menteri besar tahun lalu dilihat pemerhati sebagai kecenderungan Putrajaya terhadap China.
Lawatan itu menyaksikan 14 perjanjian melibatkan pelaburan bernilai lebih RM143 bilion, termasuk penglibatan China dalam Bandar Malaysia dan Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion.