Dr Mahathir: PPBM setuju sertai Pakatan Harapan

Dr Mahathir: PPBM setuju sertai Pakatan Harapan

Bekas perdana menteri berkata beliau yakin PH akan bersetuju dengan cadangannya, kerana gagal bertanding di bawah 1 simbol punca kekalahan pembangkang pada PRU sebelum ini.

mahathir-ph
PETALING JAYA:
Pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebulat suara bersetuju untuk membentuk gabungan rasmi dengan Pakatan Harapan (PH).

Di bawah cadangan itu, semua 3 parti komponen PH, bersama dengan PPBM akan menyertai pilihan raya umum (PRU) akan datang di bawah 1 logo, 1 manifesto, dan seorang calon bagi setiap kerusi yang mereka putuskan untuk bertanding.

Cadangan itu masih belum dibentangkan kepada PH, tetapi Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad berkata gabungan 3 pihak itu “sudah tahu mengenainya”.

“Mesyuarat hari ini fokus kepada 1 perkara, iaitu penyertaan PPBM dengan PH, di bawah satu pakatan besar pembangkang,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi PPBM di sini hari ini.

“Kami belum putuskan namanya lagi. Tetapi kami setuju selain nama baharu, kami juga perlu ada logo baharu dan simbol untuk PRU akan datang.

“Kami akan maklumkan secara rasmi kepada PH mengenai keputusan kami tidak lama lagi,” katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau percaya PH akan bersetuju dengan cadangan itu, terutama membabitkan seorang calon mewakili pakatan di setiap kerusi, Dr Mahathir menjawab dengan nada positif.

Dr Mahathir yang juga perdana menteri paling lama berkhidmat berkata ini kerana PH sudah sedar kegagalan mereka menyatukan semua parti dan bertanding di bawah 1 simbol, adalah alasan mereka kalah pada PRU lalu.

“Kami akan berbincang lanjut mengenai perkara ini bila kami berada dalam pakatan. Tetapi prinsipnya di sini ialah kami akan hanya meletakkan seorang calon bagi setiap kerusi bagi mewakili pakatan.

“Kemudian kami akan mendesak semua ahli pakatan untuk menyokong dan undi calon tunggal itu,” katanya.

Dr Mahathir berkata PAS amat dialu-alukan untuk menyertai pakatan baharu, walaupun perkara itu masih belum dibincangkan lagi.

“Kami terbuka untuk menubuhkan sekutu dengan mana-mana parti. Bukan saja PAS, tetapi ada 2, 3 parti lain yang berminat,” katanya.

Ini bukan kali pertama pemimpin berusia 91 tahun itu mencadangkan gabungan membabitkan semua parti pembangkang yang mempunyai matlamat hampir sama iaitu menewaskan kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Malah, Dr Mahathir berkali-kali menegaskan satu-satunya cara pembangkang boleh membentuk kerajaan ialah dengan syarat semua bekerjasama memastikan pertandingan 1 lawan 1 terhadap BN pada PRU14.

Pada September tahun lalu, Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir membuat desakan sama dan mencadangkan gabungan pembangkang baharu yang dinamakan “Barisan Rakyat”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.