
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Siti Shakirah Mohtaruddin terhadap 2 inspektor yang juga ketua balai polis, 6 anggota polis, 4 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat serta seorang pegawai Majlis Perbandaran Kajang.
Mereka disiasat mengikut Seksyen 17 (a) dan Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Terdahulu, semua suspek berumur 26 hingga 53 tahun tiba di mahkamah kira-kira jam 10.05 pagi dengan menaiki bas milik SPRM dan memakai pakaian lokap berwarna oren serta kemeja-T.
Mereka ditahan SPRM Selangor pada jam 9 pagi semalam di sekitar Kajang, Sungai Buloh dan Kampung Pandan di Kuala Lumpur, dalam satu operasi khas.
Menurut sumber SPRM, hasil maklumat dan risikan hampir 3 bulan lalu oleh SPRM mendapati semua suspek dipercayai menerima rasuah RM300 hingga RM10,000 secara bulanan daripada pengusaha premis urut yang beroperasi secara haram di 2 daerah di Selangor.
Mereka didakwa menyalahgunakan kuasa dengan menerima rasuah bagi melindungi premis yang melakukan pelbagai kesalahan, termasuk tidak memiliki lesen, mengambil pendatang asing tanpa izin dan melanggar aspek keselamatan kebakaran.