Projek hartanah dijangka terbengkalai jika China hentikan modal

Projek hartanah dijangka terbengkalai jika China hentikan modal

Pembeli luar negara atau tempatan dilihat tidak akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan pembeli warga China.

hookeping-house-developer
PETALING JAYA: Pakar ekonomi menjangkakan berlaku lambakan projek hartanah terbengkalai di Johor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang susulan tindakan keras China terhadap pengeluaran modal.

Penganalisis Dr Hoo Ke Ping berkata langkah agresif China terhadap modal akan menjejaskan pemaju hartanah – tempatan dan antarabangsa – yang menyediakan rumah untuk pembeli dari China.

“Warga China yang membeli rumah tetapi belum habis membayarnya mungkin tidak dapat berbuat menyelesaikan bayaran,” katanya, dan menambah bank pusat China mungkin memaksa sesiapa yang membeli rumah di luar China perlu menghabiskan pinjaman.

“Malah jika pembeli China diperlukan membayar 20% daripada projek itu dan mereka tidak dapat terus membayar ansuran dan tunggakan, pemaju akan berdepan masalah aliran tunai.

“Apa yang pasti ialah tidak akan ada jualan baharu. Jadi ada kemungkinan besar projek yang menyediakan rumah untuk warga China akan akhirnya terbengkalai,” katanya.

Hoo berkata walaupun pemaju China seperti Country Garden – yang membangunkan projek besar Forest City di Johor – mencari pembeli luar negara lagi untuk mengisi kelompangan ditinggalkan warga China, ia akan menjadi satu tugas sukar.

“Mereka dari Timur Tengah tidak mungkin akan mengisi kekosongan itu memandangkan harga minyak semasa yang rendah sementara warga Eropah dan Australia tidak menunjukkan minat untuk ke Malaysia secara besar-besaran, selama ini,” katanya.

Hoo berkata rakyat tempatan juga tidak akan membeli rumah.

“Rumah ini dibina untuk pasaran China. Kosnya melebihi RM1 juta. Berapa ramai orang tempatan mampu membelinya?

“Jadi sekarang pemaju perlu menurunkan harga untuk menyelamatkan keadaan. Tetapi jika mereka kurangkan harga sehingga 20% pun, tidak ramai yang akan mampu membeli,” katanya.

Hoo berkata beliau percaya keadaan itu akan berkekalan untuk sekurang-kurangnya 3 tahun kerana amat penting untuk China mengawal pengeluaran modalnya.

Forest City di Johor baru-baru ini dilaporkan mungkin berdepan kesukaran apabila Country Garden menutup semua pusat jualannya di China.

Forest City ialah bandar pintar bercirikan futuristik yang dibina di 4 pulau buatan manusia dengan keluasan 1,385 hektar.

Dengan kos RM100 bilion, ia dijangka siap dalam tempoh 20 tahun dan akan mempunyai pelbagai kemudahan termasuk perumahan, pejabat dan pusat beli-belah.

Alan Ho, bekas ejen jualan di syarikat Country Garden di Malaysia berkata kira-kira 90% pembeli di Forest City dari China.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.