
Presidennya, Ajit Johl dalam satu kenyataan hari ini berharap cadangan meminda Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dapat menggalakkan lebih ramai pengusaha dalam industri itu menambah baik perkhidmatan mereka.
Beliau antara lain mencadangkan semua kenderaan itu dilengkapi teknologi pengesanan GPS serta kamera yang boleh dihubungkan dengan pusat operasi di bawah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
Beliau berkata, semua aplikasi perkongsian kenderaan juga perlu mempunyai butang SOS untuk memaklumkan keluarga penumpang, polis dan SPAD jika berasa terancam sepanjang perjalanan.
Katanya, teksi juga perlu dilengkapi alat pengesan GPS dan kamera yang boleh merakamkan keadaan di dalam kenderaan.
Cadangan lain termasuk mengawal selia kelayakan pemandu, memastikan pemandu dan penumpang dilindungi insurans, serta peraturan mengenai tambang bagi memastikan pengguna tidak dikenakan tambang tinggi.
Ajit berkata, pengarah syarikat perkongsian kenderaan perlu bertanggungjawab terhadap tindakan pemandu mereka dan mereka yang melanggar peraturan perlu dikenakan denda atau hukuman penjara.
Jika perubahan ini dilaksanakan, katanya, perkhidmatan perkongsian kenderaan dan industri teksi boleh wujud bersama, contohnya industri penerbangan di mana syarikat penerbangan tambang penuh dan tambang murah boleh bersaing untuk pasaran sama.
“Tambang adalah penting, tetapi ia bukan satu-satunya faktor untuk pengguna membuat keputusan,” katanya.
Dalam pada itu, Ajit membidas “kegagalan menyediakan peraturan dan penguatkuasaan mencukupi” oleh SPAD membawa “kesan besar kepada tahap keyakinan pengguna”.
Beliau berkata, jika pindaan itu diluluskan sidang Parlimen bulan ini, pengangkutan awam negara akan menyaksikan perubahan daripada alternatif terakhir kepada pilihan utama pengguna.
“Kerajaan membelanjakan berbilion ringgit ke atas infrastruktur pengangkutan awam dan terdapat keperluan segera untuk mempunyai dasar berkesan bagi menggalakkan pertumbuhan sektor ini dan memastikan hak pemegang saham terbesarnya, pengguna pengangkutan awam diberi jaminan dan dilindungi.”
Pada 20 Januari lalu, Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar dilaporkan berkata, pindaan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 bagi mengawal selia perkhidmatan Uber dan Grab menggunakan aplikasi e-hailing (e-panggilan) dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat bulan ini.
Katanya, pindaan terhadap akta itu perlu supaya kerajaan dapat memastikan tiada percanggahan antara Uber dan Grab dengan teksi.