
Muhammad Hanif Jamaluddin berkata beliau menyimpan hasrat untuk mendapatkan koleksi peribadi Haron sejak sebulan lalu dan bersyukur apabila dipermudahkan urusan untuk memilikinya.
“Alhamdulillah, mungkin ini rezeki saya, apa yang saya inginkan Allah makbulkan pada hari ini. Bagi saya, sangat berbaloi dengan harga RM3,500.
“Apalah yang hendak dibandingkan dengan pengorbanan yang diberikan tuan guru dalam Islam sejak dia masih hidup hingga meninggal dunia,” katanya kepada pemberita pada majlis makan malam dan dialog politik di Dewan Seri Iskandar, Setiawangsa malam tadi.
Lelongan baju Melayu berwarna hijau lengkap dengan seluar, samping dan butang itu pada mulanya dilelong pada harga RM400, sebelum dibida lebih 10 kali.
Malah, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man turut membuat bidaan kepada baju itu.
Aktivis PAS, Bob Lokman yang bertindak sebagai jurujual baju Melayu berkenaan berjaya menarik perhatian pembida untuk membida dan ini terbukti apabila bidaan selesai dilakukan dalam masa 10 minit saja.
Difahamkan, RM3,500 itu akan digunakan untuk gerak kerja parti bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Lebih mengujakan, baju Melayu Haron itu diserahkan sendiri Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada Hanif selepas berjaya membidanya.
Hanif berkata tujuannya bersungguh-sungguh untuk memiliki koleksi barangan peribadi Haron kerana ingin mengambil berkat sifat takwa yang ditunjukkan Haron.
“Kita tahu dari sudut kealimannya, kezuhudannya. Jadi sudah pasti ia mempunyai berkat para alim ulama.
“Jika tidak dapat bersama dengan alim ulama, dapat ambil berkat pun sudah okay,” katanya.
Haron, 76, meninggal dunia pada 16 September tahun lalu di Hospital Standford University akibat komplikasi jantung. Jenazahnya dikebumikan di San Francisco, Amerika Syarikat.
Ini bukan kali pertama PAS melakukan lelongan, sebelum ini tongkat milik bekas menteri besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berjaya dilelong dengan bidaan RM15,000.