Jika India nak dakwa, buat di mahkamah Malaysia, kata Zakir Naik

Jika India nak dakwa, buat di mahkamah Malaysia, kata Zakir Naik

Pendakwah kontroversi yang kini dalam pelarian berkata beliau terkejut kerana dikaitkan dengan keganasan, dan menggelar mereka yang menuduhnya itu sebenarnya pengganas.

zakir-naik-court
Kuala Lumpur: Pendakwah Islam kontroversi Zakir Naik mendesak India, yang sedang menyiasat yayasannya di sana berhubung kaitan dengan pengganas, supaya membuat pendakwaan terhadapnya di mahkamah antarabangsa atau di Malaysia.

Dalam satu temu bual dengan Sinar Harian, personaliti kelahiran Mumbai yang dikatakan lari dari India susulan siasatan di sana sejak tahun lalu, berkata beliau sedia dibicarakan, tetapi hanya di mahkamah antarabangsa.

Laporan akhbar itu memetik Zakir sebagai berkata beliau tidak pernah lakukan pemberontakan atau keganasan terhadap manusia sepanjang hidup dan hanya sampaikan mesej kedamaian kepada seluruh manusia.

Beliau juga menepis pengkritik yang menggelarnya pengganas, dan menyifatkan pihak terbabit mungkin seorang pengganas berdasarkan tuduhan dilemparkan terhadapnya.

Zakir berkata beliau hairan apabila ada yang menuduhnya pembawa agenda keganasan, sedangkan beliau tidak pernah melakukannya dan percaya mereka mempunyai agenda tersendiri, demi kepentingan diri sendiri atau organisasi.

“Saya minta mereka yang tuduh saya pengganas menyebut demikian di hadapan khalayak,” katanya dipetik daripada akhbar itu.

Pada November tahun lalu India mengharamkan Yayasan Penyelidikan Islam (IRF) yang diasaskan Zakir selama 5 tahun.

The India Express melaporkan, IRF diharamkan kerana mengadakan aktiviti yang didakwa berkaitan keganasan.

The Hindustan Times baru-baru ini melaporkan Agensi Siasatan Negara India (NIA) mengeluarkan notis mengarahkan Zakir tampil untuk disoal siasat pada 14 Mac.

Pada 1 Mac, sekumpulan 19 individu di Malaysia termasuk Pengerusi Hindraf P Waythamoorthy dan peguam Siti Kasim memfailkan tuntutan saman terhadap kerajaan di sini kerana dikatakan melindungi Zakir.

Sinar Harian melaporkan Zakir sebagai berkata selain melakukan keganasan secara fizikal, beliau mengklasifikasikan mereka yang menimbulkan persepsi keganasan terhadap minda manusia boleh dipanggil sebagai pengganas.

“Umumnya, ramai mengetahui ribuan penonton yang akan hadir sekiranya saya buat sesi ceramah dan ramai menerima mesej tersebut untuk diaplikasikan dalam kehidupan mereka.

“Ada pihak yang tidak senang dengan tindakan saya, lantas mereka buat tuduhan tidak berasas terhadap saya, sedangkan saya menyampaikan mesej kedamaian demi Allah.

“Saya tidak hiraukan apa yang dilakukan mereka dan saya akan terus sampaikan mesej ini. Jika ditakdir masuk penjara pun saya tidak menyesal bahkan lega kerana menyampaikan mesej untuk kebaikan manusia sejagat,” katanya.

Kementerian Dalam Negeri India sebelum ini turut berkata Zakir yang mengetuai IRF didakwa memberi banyak ceramah berbentuk provokatif dan propaganda keganasan.

The Indian Express melaporkan Polis Maharashtra membuka siasatan jenayah terhadap Zakir kerana disyaki terbabit dalam meradikasikan pemuda dan menarik mereka menyertai aktiviti keganasan.

Pegawai turut mendakwa Zakir memindahkan dana asing IRF ke Peace TV untuk menghasilkan program “tidak menyenangkan”. Kebanyakan program yang dihasilkan di India dan didakwa mengandungi ceramah benci Zakir yang dilaporkan “menggesa semua umat Islam menjadi pengganas” melalui Peace TV.

India haramkan yayasan Zakir Naik, aktiviti dikaitkan keganasan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.