
“Kalau dia mahu berbahas dengan saya depan orang ramai, silakan,” kata Dr Mahathir, yang sekali lagi menolak cabaran untuk kembali bertanding dalam pilihan raya.
Katanya, kedua-dua mereka boleh berdebat mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dana RM2.6 bilion yang disalurkan ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak, mahupun skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) yang berlaku di era pemerintahannya.
Dr Mahathir, yang juga pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), dijadualkan berucap di Padang Rengas, kawasan Parlimen yang disandang Nazri.
Nazri berkata beliau akan membentangkan permaidani merah untuk mengalu-alukan bekas perdana menteri itu.
Dr Mahathir hari ini membalas tawaran Nazri: “Saya fikir tak payahlah belanja duit untuk tujuan itu, saya berjalan atas lumpur pun boleh.
“Saya bukan dari golongan tinggi, saya dari golongan bawah yang biasa jalan kaki tak pakai kasut, jadi tak payahlah karpet merah.
“Suruh dia guna duit itu untuk belanja bagi kepada orang lain,” katanya.