‘Islam tiada sistem khusus perintah negara, demokrasi masih pilihan’

‘Islam tiada sistem khusus perintah negara, demokrasi masih pilihan’

Gerakan Islam sebelum ini menyeru mengembalikan sistem khalifah, tetapi ia hanya reaksi terhadap penjajahan.

Dr-Rozaimi-Ramle
KUALA LUMPUR:
Islam bersifat fleksibel dan tidak mewajibkan umatnya mendirikan sistem pemerintahan khusus, misalnya sistem “khilafah” seperti yang dibawa sesetengah gerakan Islam politik, kata 2 agamawan.

Mereka berkata, demokrasi yang diamalkan secara meluas pada masa ini tidak menyalahi agama, malah ia paling sesuai dengan tuntutan zaman.

Pensyarah Universiti Perguruan Sultan Idris Dr Rozaimi Ramle berkata, Islam lebih mengutamakan “roh” pemerintahan berbanding bentuk atau istilah sesuatu sistem.

“Dari aspek pemerintahan, Islam fleksibel. Bukan seperti akidah dan ibadah yang ada garis panduan khusus,” katanya pada forum “Islam, Jihad dan Demokrasi” anjuran Islamic Rennaisance Front (IRF) hujung minggu lalu.

Beliau memberi contoh perbezaan corak pemerintahan khalifah kedua Islam, Umar al-Khattab yang memperkenalkan pembaharuan politik dan lantikan jawatan, berbanding ketika zaman Nabi Muhammad di mana baginda mengendalikan hampir semua aspek.

Pada 2014, kumpulan militan IS mengumumkan penubuhan “khilafah”. Seruan mengembalikan corak pemerintahan ini mendapat sokongan sebahagian umat Islam termasuk di Asia Tenggara, menerusi beberapa pertubuhan yang dianggap militan.

Beberapa tahun sebelum itu, ulama ternama Yusuf al-Qaradawi mengeluarkan fatwa menyatakan demokrasi mirip sistem syura dalam aspek hak rakyat memilih pemimpin, maka tidak bertentangan dengan Islam.

“Ada pihak, seperti segelintir agamawan di Arab Saudi, yang mengkritik demokrasi mengikut majoriti, bukannya nas dan dalil agama. Tetapi dalam sistem monarki, ada juga keputusan raja yang bertentangan dengan dalil,” kata Rozaimi.

“Akhirnya ia kembali kepada setiap individu, sama ada mereka mahu memilih pemimpin yang mengikut agama atau tidak. Pada masa ini, sistem sedia ada inilah yang terbaik.”

Kebanyakan gerakan Islam yang memiliki matlamat “khilafah” wujud sebagai reaksi kepada penjajahan kuasa Barat selepas kejatuhan empayar terakhir Islam, iaitu Uthmaniah, pada awal abad ke-20.

Namun keadaan mula berubah apabila ada yang mula menerima demokrasi sebagai sistem, bukan lagi hanya sebagai jalan menuju “negara Islam”.

Misalnya, pemimpin Parti Ennahda Tunisia, Rached Ghannouchi mengisytiharkan dirinya “demokrat Muslim” dan berkata tiada lagi ruang untuk “political Islam” dalam sistem negara itu.

“Kami meninggalkan ‘political Islam’ dan memasuki Islam demokratik. Kami adalah demokrat Muslim yang tidak lagi mendakwa mewakili Islam politik,” kata tokoh gerakan Islam dipetik jurnal Middle East Eye, tahun lalu.

“Apa yang dianjurkan Islam bukan bentuk atau struktur, tetapi ‘zat’ (substance) dan maqasid (matlamat),” kata Pengurus Besar Nahdatul Ulama (NU) Indonesia, Dr Syafiq Hasyim.

Beliau berkata, Muktamar NU pada 1936 membuat keputusan bersejarah dengan menerima sistem pemerintahan penjajah Belanda ketika itu, atas sebab rakyat Indonesia belum mampu melawan penjajah, selain tiada halangan umat Islam melaksanakan tuntutan agama.

Pada 1983 pula, katanya lagi, muktamar NU menerima sepenuhnya “Pancasila” sebagai asas negara, keputusan yang turut disusuli pertubuhan Islam kedua terbesar, Muhammadiyah, 2 tahun kemudian.

“Sebelum itu NU belum dapat menerima Indonesia sebagai republik, keputusan dan dasar negara diterima separuh hati. Namun atas sebab ia tidak menghalang perkembangan Islam, ulama NU sepakat menerimanya dan mula terlibat dalam demokrasi secara aktif,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.