Pengusaha persoal ketelusan kerjasama Uber dan gabungan teksi

Pengusaha persoal ketelusan kerjasama Uber dan gabungan teksi

Gabungan syarikat teksi dikatakan tidak jujur menjaga kebajikan pemandu kerana tidak berani berdepan penunjuk perasaan hari ini

Datuk-Shamsubahrin-Ismail
PETALING JAYA:
Selepas 24 jam kerjasama dengan Uber diumumkan, gabungan pengusaha teksi mengambil keputusan menangguhkan inisiatif itu, dipercayai selepas tunjuk perasaan oleh sekumpulan pemandu teksi awal hari ini.

Penasihat Teksi Big Blue Datuk Shamsubahrin Ismail percaya keputusan oleh Gabungan Persatuan dan Syarikat-syarikat Teksi Semenanjung Malaysia (GPST) itu selepas beliau mendedahkan cadangan tersebut kepada media.

Beliau hairan mengapa GPST, terutamanya Pengerusi Salahuddin Ayubi Kamal Aazad, takut berdepan tunjuk perasaan “segelintir pemandu teksi”.

“Tindakan GPST tidak ‘gentleman’ dan tidak telus dalam menjaga kebajikan pemandu teksi,” katanya kepada FMT.

Lebih 100 pemandu teksi menunjuk perasaan di Kelab Sunway Lagoon pagi tadi bagi membantah memorandum persefahaman (MoU) antara GPST dan syarikat perkongsian kenderaan Uber.

Penunjuk perasaan berkata mereka tidak mahu bekerjasama dengan “syarikat Yahudi” dan menuduh GPST “menggadaikan” kehidupan mereka.

Semalam, Shamsubahrin berkata kerjasama GPST dengan Uber itu akan membolehkan pemandu menggunakan aplikasi e-hailing yang lebih kuat di pasaran dari segi pemasaran, tempatan dan potensi menjana pendapatan.

Sokongan Shamsubahrin kepada usaha itu sesuatu yang baharu memandangkan pemandu teksi sebelum ini dilihat berseteru dengan Uber, yang dikatakan menarik sebahagian besar pengguna pengangkutan awam daripada mereka.

“Saya sokong kalau ia dibuat untuk kebaikan pemandu teksi dan mereka tidak dianaktirikan,” katanya.

“Saya juga sokong MoU itu jika aplikasi Uber itu beri layanan sama rata kepada pemandu teksi dan membiarkan pelanggan membuat pilihan sama ada memilih Uber atau perkhidmatan teksi menerusi aplikasi bersama itu nanti,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.