
Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan, Adun Batang Kali, mahu pengisytiharan daripada Mahkamah Tinggi mengenai dakwaan beliau melanggar Peraturan Tetap 36 (10) di DUN Selangor pada 1 November lalu, selepas dirujuk kepada Jawatankuasa Hak Kebebasan kerana ucapannya yang mempersoalkan perlembagaan sebuah parti politik dalam kerajaan Selangor.
Menurutnya, perlembagaan parti itu bercanggah dengan prinsip demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.
Peguam Nadzari, Kamarudin Ahmad berkata, anak guamnya tidak melakukan sebarang pelanggaran atau beniat jahat kepada Adun lain, sebaliknya dilindungi di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor.
Katanya, langkah saman itu bagi menghalang DUN Selangor mengambil tindakan terhadap Nadzari dengan alasan ia boleh menghina mahkamah.
“Apabila sudah fail tindakan di Mahkamah Tinggi, saya percaya Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Selangor tidak boleh bawa laporan mereka kepada persidangan DUN Selangor, kerana jika dibawa akan jadi subjudis,” kata Kamarudin.
Speaker Selangor, Hannah Yeoh sebelum ini berkata keputusan mengenai Nadzari akan diumumkan pada sidang bulan ini.
Nadzari dalam ucapan DUN memetik perlembagaan salah sebuah parti dalam gabungan kerajaan Selangor, yang menyatakan matlamat melaksanakan dasar pemerintahan yang berteraskan prinsip demokrasi berparlimen berperlembagaan di negara ini.
Ucapan itu dibantah Adun Sungai Pinang, yang juga Naib Pengerusi DAP Selangor, Datuk Teng Chang Khim yang meminta Nadzari dirujuk kepada Jawatankuasa Hak Kebebasan dan digantung menghadiri sidang DUN.
Sementara itu, Nadzari berkata akan tetap menghadiri sidang DUN Selangor bulan ini walaupun berdepan tindakan.
“Saya tetap akan hadir sebab saya belum didapati bersalah.
“Jika tindakan diambil terhadap saya, kita akan lihat apa langkah seterusnya akan diambil,” katanya.