
Ia salah satu sebab yang diberikan oleh Ketua Polis Daerah George Town, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash ketika menjelaskan punca kelewatan keseluruhan siasatan kes.
“Pegawai penyiasat telah menghubungi pejabat Ketua Menteri sebanyak lima kali untuk menetapkan tarikh bagi merekodkan kenyataan Lim.”
Bagaimanapun tiada respons daripada pihak berkenaan sehingga 2 Mac lalu, kata Mior dalam satu kenyataan semalam.
Dua hari lepas, Guan Eng berkata, pihak berkuasa mengambil enam tahun untuk meneruskan kes melibatkan anaknya berusia 16 tahun, yang dituduh dalam blog kononnya meraba dada seorang rakan sekolah.
Kata Guan Eng, beliau telah disoal siasat oleh polis pada 2 Mac lalu berhubung laporannya terhadap blogger Umno enam tahun lepas.
“Ini adalah kali ketiga polis mengambil kenyataan daripada saya. Mengapa bertanya soalan ini enam tahun kemudian? Saya membuat laporan polis atas nasihat seorang pegawai kanan polis pada masa itu.
“Tetapi masih tiada tindakan selepas enam tahun. Mereka yang menghina Perdana Menteri dibawa ke mahkamah dengan cepat tetapi apabila ia berlaku kepada saya, tiada tindakan,” kata Guan Eng.
Jelas Mior, siasatan mengambil masa kerana polis perlu menganalisis bukti dari pelbagai agensi, termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta mengambil kenyataan seramai 38 saksi.
“Dakwaan Ketua Menteri adalah tidak tepat.”
Mior berkata, kertas siasatan telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) beberapa kali tetapi telah dikembalikan kerana tidak lengkap.
“Kami telah memperbaiki kertas siasatan dan menghantar kembali kepada DPP untuk arahan lanjut.”
Pada tahun 2011, kolaj gambar anak Guan Eng dan mangsa yang didakwa diraba telah disiarkan oleh blogger pro-Umno, Papagomo menerusi blognya.
Bagaimanapun pendedahan kemudian menunjukkan gadis dalam gambar-gambar itu sebenarnya pemain catur dari Hong Kong bernama Anya Corke. Gambar asal, yang menunjukkan Corke sedang bermain catur, telah disunting untuk mengaitkan anak Guan Eng.
Isu itu telah bangkit semula baru-baru ini apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika ditanya mengenai kes itu berkata, ia masih dalam siasatan polis.