Ambiga cermat komen Zakir, mahu masyarakat menilai

Ambiga cermat komen Zakir, mahu masyarakat menilai

Peguam aktivis itu berkata Zakir Naik menimbulkan kesangsian kerana diharamkan di beberapa buah negara.

ambiga-zakir-1
KUALA LUMPUR:
Masyarakat diminta menilai sama ada kehadiran pendakwah kontroversi Zakir Naik memberi kebaikan kepada Malaysia di saat negara berdepan jurang antara kaum dan agama.

Peguam dan aktivis Datuk Ambiga Sreenevasan menggesa semua pihak menimbang perkara itu secara berhati-hati, terutamanya dengan dakwaan Zakir kini berada di Malaysia dan sudah dikurniakan status penduduk tetap (PR).

“Saya sangsi kerana reputasinya yang tidak baik sehingga ada negara yang melarang kemasukannya. Ia tentu bersebab,” kata Ambiga kepada pemberita di program daftar pengundi anjuran Bersih semalam.

Pada 1 Mac lalu, 19 individu termasuk pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) P Waytha Moorthy dan peguam Siti Kasim memfailkan saman terhadap kerajaan, kerana menurut mereka, melindungi Zakir di sini.

Mereka memohon pembatalan status Zakir sebagai penduduk tetap – jika diberikan – kerana didakwa mengancam keselamatan dan keharmonian negara.

Zakir popular dengan siri ceramah yang menyentuh agama lain, adakalanya memaparkan seseorang secara terbuka isytihar keluar agama asal dan memeluk agama Islam.

Beberapa badan bukan kerajaan bukan Islam membantah kehadiran Zakir kerana ucapannya didakwa menghina agama lain.

“Jadi kita perlu lebih sensitif dan memahami sebabnya. Isu ini perlu ditimbang secara berhati-hati,” kata Ambiga.

Zakir diharamkan mengadakan program di negara kelahirannya sendiri iaitu India, serta Bangladesh, United Kingdom dan Kanada.

Kehadiran Zakir disokong beberapa badan bukan kerajaan Islam, Mufti Perlis Datuk Asri Zainul Abidin dan PAS, yang menafikan program Zakir menyebarkan kebencian.

Asri mengecam tindakan mahkamah terhadap Zakir sebagai menyekat kebebasan bersuara manakala PAS berkata penentang Zakir menolak wacana ilmu.

Sementara pendakwah Wan Ji Wan Hussin pula mencadangkan kerajaan membenarkan wacana yang menampilkan Zakir bersama ilmuan agama lain.

Ambiga berkata, negara yang paling bebas sekalipun melarang sebarang bentuk “ucapan kebencian” (hate speech).

“Saya memperjuangkan kebebasan bersuara. Tetapi prinsip itu ada hadnya.

“Jika benar Zakir menyebarkan kebencian, beliau telah melepasi had itu dan tiada lagi hak kebebasan bersuara,” katanya.

Tahun lalu, akhbar Hindustan Times melaporkan beliau didakwa memegang 2 kewarganegaraan iaitu India dan Malaysia, namun ia dinafikan Kementerian Dalam Negeri.

Zakir dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah pada 2013, dan mutakhir ini semakin kerap diundang menyampaikan ucapannya di Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.