
Beliau menjelaskan kerajaan masih lagi terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat tetapi buat masa sekarang mencari data yang lebih tepat sebelum meneruskan carian.
“Dana tidak pernah menjadi isu tetapi kita perlukan bukti yang tepat buat masa ini.
Kita perlukan lebih banyak bukti sebelum mesyuarat 3 pihak seterusnya diadakan,” katanya kepada wartawan semasa hari memperingati peristiwa MH370 di Publika hari ini.
Tiong Lai berkata, penyiasat sedang meneliti data yang ada untuk mencari jawapan kepada kemungkinan lokasi pesawat.
“Pakar perlukan lebih banyak kajian untuk meneliti imej satelit dan corak serpihan.
“Kita tunggu pasukan pakar untuk memberi kita lebih banyak data.
“Setakat ini, kita gantung dulu pencarian sehingga pasukan pakar memberi kita data yang boleh dipercayai.
“Semua negara yang terlibat dalam pencarian juga bersetuju untuk gantungkan dulu pencarian sampai jumpa petunjuk yang kuat.”
Oleh itu, kita tidak boleh hanya melihat ke lokasi yang kita tidak pasti. ”
Sementara itu, Tiong Lai juga mengesahkan 3 daripada 27 serpihan yang ditemui dikenal pasti sebagai bahagian MH370.
Dua dari Afrika Selatan manakala yang lain ditemui di Pulau Reunion, Perancis.
“Kami juga membenarkan waris mangsa MH370 untuk melihat serpihan yang ada pada kami.”
Tiong Lai juga berkata, Malaysia mendapatkan bantuan kerajaan Afrika Selatan dan Australia dalam mengenal pasti serpihan tersebut.
Beliau berkata kerajaan menandatangani beberapa memorandum persefahaman (MOU) dengan beberapa negara untuk membantu dalam mencari serpihan yang berkaitan dengan MH370.
“Sebaik sahaja MOU ditandatangani, negara terlibat akan membantu kita untuk mencari serpihan.
“Terdapat juga tatacara operasi standard (SOP) dalam carian kami.
“Jika banyak serpihan ditemui di sesuatu lokasi, maka kami akan menghantar satu pasukan untuk melakukan pencarian di kawasan itu.
“Kerajaan akan ke negara tersebut untuk mendapatkan serpihan yang ditemui.”
Pada 17 Januari lalu, Tiong Lai mengumumkan operasi mencari pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi ditangguhkan.
Sudah 3 tahun pesawat itu hilang semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014.