Jawatan KM Sabah: Shafie Apdal sangkal Najib

Jawatan KM Sabah: Shafie Apdal sangkal Najib

Shafie berkata, apabila Najib mencadangkan idea itu, dipercayai sebab ramai pemimpin Sabah mahu Musa Aman digantikan, beliau menolak saranan itu.

Shafie Apdal
PETALING JAYA:
Bekas naib presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyangkal kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa beliau pernah meminta supaya dilantik sebagai ketua menteri Sabah.

Sebaliknya kata Shafie, Najib yang mahukan beliau menerajui negeri itu.

Justeru, Shafie yang kini memimpin Parti Warisan Sabah berkata, apabila Najib mencadangkan idea itu, dipercayai sebab ramai pemimpin Sabah mahu Musa Aman digantikan, beliau menolak saranan itu.

“Saya menyertai politik untuk membantu rakyat Sabah,” kata Shafie sambil menegaskan, beliau tidak layak untuk menyandang jawatan itu kerana merupakan seorang ahli parlimen.

Bercakap pada satu majlis di Lahad Datu, Sabah hari ini, Ahli Parlimen Semporna ini berkata, sekiranya beliau mahu dilantik sebagai ketua menteri, beliau perlu bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri.

Beliau meninggalkan Umno tahun lalu selepas digugurkan sebagai menteri luar bandar dan pembangunan wilayah pada tahun sebelum itu. Shafie mengetuai kementerian itu selama lima tahun dan mengetuai portflolio-portfolio lain sejak 2004.

Shafie juga berkata, beliau juga pernah ditawarkan jawatan menteri pertahanan, sebaliknya meminta diberikan potfolio kementerian luar bandar dan pembangunan wilayah kerana boleh membantu masyarakat luar bandar.

Semalam, Najib mendedahkan seorang bekas menteri persekutuan yang kini presiden parti pembangkang, pernah menemuinya dan meminta supaya dilantik menjadi ketua menteri Sabah.

Najib yang juga Presiden Umno menyifatkan permintaan itu sebagai cita-cita peribadi bekas menteri persekutuan itu.

“Bagi saya, cita-cita peribadi tidak boleh mengatasi perjuangan untuk rakyat,” kata Najib.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.