‘Kegagalan PAS punca homoseksual bertambah di Kelantan’

‘Kegagalan PAS punca homoseksual bertambah di Kelantan’

Jazlan menggesa timbalan menteri besar Kelantan berhenti menyalahkan Thailand kerana PAS sepatutnya bertanggungjawab terhadap kegagalan 'membesarkan anak mereka' dengan cara betul.

Ahmad-Jazlan-Yaakub
PETALING JAYA:
Seorang timbalan menteri dari Umno menyalahkan kegagalan PAS mempromosikan cara hidup Islam sebenar di Kelantan sebagai alasan di sebalik peningkatan golongan homoseksual di negeri itu, lapor The Star.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub membidas pemimpin PAS yang mendakwa diri mereka juara Islam, tetapi tidak mampu menangani peningkatan aktiviti “tidak Islam”.

“Saya terkejut apabila seorang timbalan menteri dalam negeri mengumumkan peningkatan bilangan kes HIV di Kelantan yang juga berpunca daripada kegiatan homoseksual.

“Ini adalah serius. Selama ini, kami ingat jumlah kes HIV di sini meningkat sebahagian besarnya disebabkan perkongsian jarum di kalangan penagih dadah,” katanya dipetik akhbar itu.

Timbalan pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan itu merujuk pengumuman Timbalan Menteri Dalam Negeri, Masir Kujat pada Selasa lalu berhubung laporan Jabatan Kesihatan Kelantan yang menunjukkan peningkatan kes HIV di negeri itu.

Masir dilaporkan berkata, peningkatan itu disebabkan pergaulan dan gaya hidup tidak sihat, termasuk pertukaran pasangan seks.

Menurut laporan Jabatan Kesihatan, jangkitan HIV di Kelantan yang disebabkan aktiviti homoseksual meningkat 100%, dengan 20 kes dicatatkan tahun lalu berbanding hanya 10 kes pada tahun sebelumnya.

Laporan itu turut menyatakan jangkitan HIV akibat hubungan heteroseksual meningkat 25% antara 2015 (40 kes) dan 2016 (50 kes).

Dari 2001 hingga 2016, Kelantan merekodkan 11,000 kes positif HIV. Seramai 2,255 orang dijangkiti HIV/AIDS sepanjang tempoh itu.

Jazlan yang juga ahli Parlimen Machang turut membidas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang menyalahkan Thailand mempengaruhi penduduk negeri itu.

“Bagaimana beliau boleh kata kegiatan homoseksual dan heteroseksual berlaku kerana Kelantan dekat dengan Thailand?

“Jika jiran sebelah rumah kita ialah perompak, kita akan salahkan dia kalau anak kita ikut jejak dia? Apa peranan ketua keluarga?” soalnya dipetik The Star.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.