SPRM digesa siasat 7 syarikat projek air RM2.44 bilion di Sabah

SPRM digesa siasat 7 syarikat projek air RM2.44 bilion di Sabah

Adun Likas berkata syarikat itu membabitkan 6 projek konsesi dengan setiap kontrak bernilai RM122 juta setahun dan mereka dipercayai diberikan tempoh 20 tahun.

sabah-sprm
PUTRAJAYA: Susulan skandal penyelewengan projek air di Sabah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat 7 syarikat yang didakwa terbabit dalam projek penyelenggaraan air di Sabah melibatkan RM2.44 bilion.

Adun Likas Junz Wong berkata penyelewengan itu melibatkan 6 projek yang diberikan kepada 7 syarikat konsesi air terbabit yang terdiri daripada 4 kontraktor utama dan 3 sub kontraktor.

“Semua syarikat ini dengan 6 projek konsesi dengan setiap kontrak bernilai RM122 juta setahun, dipercayai diberikan tempoh 20 tahun atau RM2.44 bilion untuk keseluruhan bagi bekalan air Sabah termasuk penyelenggaraan.

“Perkara ini amat membimbangkan dan tiada bekalan air berkualiti di Sabah,” katanya pada sidang media di depan pejabat SPRM di sini hari ini.

Wong berkata secara kebetulan pengarah semua syarikat itu mempunyai nama “Teo” yang berbeza sebagai kontraktor utama dan sub kontraktor.

“Terdapat beberapa syarikat di bawah ahli lembaga pengarah dan pemilik saham dengan nama Teo yang berbeza sebagai kontraktor utama dan sub kontraktor.

“Tiga syarikatnya didaftarkan di bangunan yang sama tetapi mungkin unit berbeza. Ada banyak nama Teo dan ada juga yang bukan nama Teo di alamat sama tetapi tidak pasti sama ada mempunyai pertalian antara mereka,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mendesak SPRM menyiasat perkara itu.

“Ini kerana ia melibatkan wang, tanggungjawab terutama berkaitan dengan isu kualiti bekalan air di Sabah.

“Kita tidak membuat tuduhan tetapi kita mahu SPRM menyiasat apa yang sebenarnya berlaku. Kita menyediakan maklumat ini bagi memudahkan SPRM menyiasat suspek.

“Dengan skandal air Sabah, kerajaan negeri perlu lebih bertanggungjawab dan telus,” katanya.

Sementara itu, peguamnya Jakaria Abd Jalil berkata pihaknya mengemukakan beberapa dokumen berkaitan syarikat yang dilantik untuk menjalankan perkhidmatan air di Sabah kepada SPRM.

“Kami buat beberapa penelitian dan siasatan berkenaan syarikat itu dan terdapat beberapa insiden yang kami percaya memerlukan pemerhatian dan siasatan lanjut daripada SPRM.

“Antara fakta menarik perhatian kami adalah syarikat ditubuhkan ini ada yang baru berumur 2 dan 3 tahun, tetapi dilantik terus sebagai kontraktor utama dan sub kontraktor untuk menjalankan projek berjuta ringgit.

“Ini menimbulkan persepsi perlu disiasat lebih lanjut oleh SPRM,” katanya.

Jakaria berkata SPRM perlu meneliti latar belakang kewangan syarikat berkaitan dengan pengarah syarikat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.