Kenaikan harga diesel beri kesan kepada syarikat bas

Kenaikan harga diesel beri kesan kepada syarikat bas

Persatuan pengusaha bas berharap kerajaan akan terima rayuan menyelaraskan harga bas mengikut harga minyak

president-Ashfar-Ali
GEORGE TOWN:
Pengusaha bas ekspres terpaksa menanggung beban kenaikan harga diesel yang naik 5 sen bagi Mac.

Ini kerana kerajaan mengawal ketat harga tambang bas ekspres, kata Persatuan Pengusaha-pengusaha Bas Se-Malaysia.

Presidennya Datuk Ashraf Ali berkata kali terakhir tambang bas ekspres disemak adalah pada 2008 dan tidak ada pelarasan lain sejak itu.

Menurut Ashfar, pengusaha bas sekolah mungkin tidak terjejas kerana mereka boleh menyelaraskan harga mengikut harga minyak semasa.

Beliau berkata pihak persatuan pernah meminta tambang bas ekspres diselaraskan mengikut harga minyak tetapi permohonan mereka tidak diendahkan.

“Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat akan menganjurkan bengkel untuk mendengar pandangan kami.

“Kami harap perbincangan itu akan membawa hasil,” katanya kepada FMT.

Harga diesel naik 5 sen kepada RM2.20 seliter berkuat kuasa hari ini. Harga petrol RON95 dan RON97 kekal pada harga RM2.30 dan RM2.60 seliter.

Sejak 1 Disember 2014, harga minyak ditentukan setiap bulan oleh sistem apungan terurus.

Sementara itu, Persatuan Haulier Malaysia Nazari Akhbar berkata syarikat haulier besar mempunyai mekanisme “faktor pelarasan minyak” di mana caj perkhidmatan akan diselaraskan secara automatik mengikut harga minyak.

Oleh itu, syarikat haulier besar akan menyelaraskan harga mereka.

Beliau berkata pemandu lori kecil-kecilan, yang tidak termasuk dalam keahlian mereka, terpaksa “mengikat perut” untuk menarik perniagaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.