
Hakim Datuk Nordin Hassan menetapkan tarikh itu selepas memutuskan Mahkamah Tinggi perlu menunggu keputusan berhubung kes sama di Mahkamah Persekutuan kerana ia akan menjadi panduan dalam membuat keputusan terhadap kes tersebut.
Pada 27 Mei 2016, Vivian Lee atau Lee May Ling, 27, dijatuhi hukum penjara 5 bulan dan 22 hari oleh Mahkamah Sesyen selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh.
Bagaimanapun mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman itu sementara rayuan Lee didengar di Mahkamah Tinggi.
Lee dan bekas teman lelakinya itu, didakwa menyiarkan gambar mereka sedang menikmati hidangan dengan kapsyen bertajuk “Selamat Berbuka Puasa (with Bak Kut Teh…fragrant, delicious and appetising)” dan mengandungi logo halal di laman Facebook mereka.
Mereka didakwa bersama-sama melakukan kesalahan itu pada 9 pagi, 13 Julai 2013 mengikut Subseksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda RM5,000 atau penjara 3 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Lee diwakili peguam Chong Joo Tian manakala Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin mewakili pihak pendakwaan.