Exco Johor bercuti selepas anak, pegawai ditangkap SPRM

Exco Johor bercuti selepas anak, pegawai ditangkap SPRM

Permohonan cuti Abd Latif Bandi diluluskan menteri besar selepas pertemuan pagi tadi

Datuk-Abd-Latif-Bandi
JOHOR BAHRU:
Exco kerajaan Johor, yang juga bapa dan ketua kepada 2 yang ditahan dalam siasatan rasuah dan penyelewengan hartanah baru-baru ini, bercuti berkuat kuasa hari ini selepas pertemuan dengan menteri besar.

Maklumat itu disahkan Exco Datuk Md Jais Sarday ketika dihubungi FMT hari ini.

Menurut Jais, Datuk Abd Latif Bandi bertemu Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di pejabatnya pada 9.30 pagi hari ini.

Katanya, Latif memohon cuti untuk menyelesaikan perkara yang melibatkan ahli keluarga dan pegawainya. Beliau akan bercuti sehingga tempoh yang tidak diberitahu.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan memohon cuti selepas tangkapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas 6 individu, termasuk anaknya – Ahmad Fauzan Hatim, 25 – dan pegawai khasnya – Muhammad Idzuan Jamalludin – pada Jumaat dalam skandal RM15.5 juta.

Bernama melaporkan sumber sebagai berkata mereka dipercayai terbabit dalam penukaran status rumah Bumiputera kepada bukan Bumiputera dan dipercayai dibuat sejak tahun 2013 yang melibatkan beberapa pemaju di Johor.

Aktiviti penukaran status itu menyebabkan mereka yang layak mendapat rumah status Bumiputera tidak mampu untuk membeli rumah.

Menurut Jais, semua urusan di bawah portfolio Latif ditangguhkan buat sementara waktu.

“Jika ada urusan berkaitan dengan pentadbiran, ia dirujuk kepada setiausaha kerajaan negeri. Kalau memerlukan keputusan segera berkaitan dengan dasar, itu boleh dirujuk kepada menteri besar sendiri,” katanya.

Beliau menambah kelulusan cuti itu tidak bermakna Latif terbabit dalam skandal rasuah dan penyelewengan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.