
Menurut Naib Ketua Pemuda Amanah, Wan Anwar Wan Ibrahim banyak kelemahan yang boleh dilihat dalam akta tersebut.
“Berbeza dengan kaum lain yang boleh menukar status menjadi ‘Melayu’ tetapi Orang Asli masih dikekalkan status sebagai ‘Orang Asli’ walaupun mereka menukar agama atau kepercayaan.
“Malah Orang Asli yang mengambil hasil hutan di dalam kawasan mereka pun perlu mendapatkan kebenaran daripada menteri,” kata Wan Anwar dipetik dari kenyataannya semalam.
Kata Timbalan Pengerusi Biro Undang-Undang (Kanun) Parti Amanah itu, menteri boleh sesuka hati memilih dan memecat ketua bagi komuniti Orang Asli.
“Menteri juga berhak memutuskan sama ada seseorang itu Orang Asli atau tidak,” kata Wan Anwar yang mengakui Akta 134 itu sebenarnya mencengkam dan mengawal hala tuju Orang Asli.
Menurutnya lagi, mana-mana kawasan yang diwartakan sebagai rizab Orang Asli tidak boleh diisytiharkan sebagai tanah rizab Melayu.
“Malah sesiapa yang didapati menghalang Orang Asli dari bersekolah dianggap melakukan kesalahan quasi-jenayah dan boleh didenda maksimum RM500.”
Atas rasa ketidakadilan itulah Amanah menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Khas Orang Asli Dan Alam Sekitar bagi menangani krisis Orang Asli dan alam sekitar.
Wan Anwar berpandangan Akta 134 tidak boleh digunakan untuk mengawal gerak-geri Orang Asli kerana ia bertentangan dengan hak kaum minoriti tersebut.
Kesan daripada kegagalan Akta 134 itulah sebenarnya yang menyebabkan krisis yang berlaku sekarang di Gua Musang, Kelantan selain di Johor, Perak dan Pahang.
“Lebih rumit lagi apabila tauke balak yang menjejaskan kepentingan Orang Asli itu seolah-olah dilindungi oleh pihak berkuasa.
“Sedangkan peruntukan undang-undang memberikan kuasa kepada menteri dan pihak berkuasa untuk menghalau mereka keluar dari kawasan Orang Asli itu.
“Jadi di mana keperkasaan dan kemandirian Orang Asli itu pada kaca mata undang-undang?” soal Wan Anwar.
Di samping status mereka sebagai sebahagian daripada kaum utama juga harus diangkat selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Dasar memberi pemilikan dan pembangunan tanah kepada masyarakat Orang Asli yang lebih jelas dan menyeluruh hendaklah dirangka dan dilaksanakan.
“Adalah tidak masuk akal sama sekali jika hari ini seorang menteri masih lagi menentukan urusan cara hidup, nasib dan masa depan Orang Asli sedangkan Persatuan Siswazah Orang Asli Semenanjung Malaysia sudah pun wujud sejak tahun 1999 lagi.”
Beliau berkata sudah sampai masanya Akta 134 tersebut dipinda sekali lagi sejak tahun 1967 agar hak lebih kurang 150,000 Orang Asli diperkasakan.