Wakil Korea Utara tiba untuk tuntut mayat Jong Nam

Wakil Korea Utara tiba untuk tuntut mayat Jong Nam

Wakil itu adalah bekas timbalan duta Korea Utara ke PBB.

ritongil-kimjongnam-malaysia
KUALA LUMPUR: Seorang bekas timbalan duta Korea Utara ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) tiba hari ini untuk mengemukakan permohonan bagi menuntut mayat warganegaranya daripada pihak berkuasa Malaysia.

Ri Tong Il memberitahu wartawan beliau akan memohon Malaysia menyerahkan mayat rakyatnya bernama Kim Chol yang meninggal dunia awal bulan ini di Malaysia, lapor agensi berita Yonhap.

Kim Chol ialah nama yang tertera dalam pasport digunakan Kim Jong Nam, abang sebapa diktator Korea Utara, Kim Jong Un.

Jong Nam yang berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lalu ketika menunggu penerbangan ke Macau, diserang 2 wanita yang didakwa menyapu agen saraf VX pada mukanya.

Ri berkata, beliau juga akan memohon Malaysia melepaskan warga Korea Utara yang ditahan berhubung kes itu dan membincangkan cara untuk mengukuhkan hubungan dengan Putrajaya.

Kematian Jong Nam mencetuskan krisis diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara, berikutan dakwaan Jong Nam dibunuh atas arahan Pyongyang yang dikatakan tidak menyenanginya.

Menurut laporan Yonhap, Korea Utara mendakwa bedah siasat itu dilakukan dengan cara “haram dan tidak bermoral” dan Malaysia bersubahat dengan Korea Selatan dalam siasatan kes itu.

Polis Malaysia sebelum ini berkata, 8 warga Korea Utara disyaki terbabit dalam pembunuhan Jong Nam bersama 2 wanita Asia yang mendakwa mereka diperdaya untuk mengambil bahagian dalam program gurauan.

Seorang lelaki Korea Utara sudah ditahan, manakala 3 lagi termasuk seorang diplomat dikehendaki polis untuk membantu siasatan. Baki 4 lagi suspek Korea Utara dipercayai sudah melarikan diri ke Pyongyang selepas pembunuhan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.