
Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi (SERC) Lee Heng Guie berkata ruang unit dan pejabat berlebihan berlaku sejak 2015 lagi.
Memetik angka Bank Negara, Heng Guie berkata di Lembah Klang sahaja, 4.9 juta kaki persegi ruang pejabat akan dibina lagi menjelang 2018.
Tahun lepas, The Star melaporkan ruang runcit di Lembah Klang dijangka mencecah 60 juta kaki persegi pada 2017.
Ahli ekonomi itu berkata lebihan hartanah komersial akan memberi tekanan kepada pemilik dan pengusaha pusat membeli-belah lantaran kenaikan kos operasi dan permintaan yang rendah.
“Sekarang pun sudah ada lebihan unit komersial, dan menjelang 2018 akan ada lagi hartanah komersial baharu siap terbina.
“Apabila kita ada lebihan tetapi pemaju tidak dapat menjual hartanah mereka, pemaju akan mengalami masalah aliran tunai dan risiko pinjaman tak berbayar,” katanya di Persidangan Ekonomi dan Perniagaan Institut Rehda 2017.
Heng Guie berkata masalah seperti itu nyata dialami hartanah perumahan, terutamanya kondominium di mana kadar sewa didapati menurun ekoran jumlah lot kosong.
Menurut beliau, membetulkan lebihan hartanah komersial akan mengambil masa bertahun dan lebihan akan menurunkan harga hartanah.
Beliau bagaimanapun berkata harga hartanah ketika ini masih meningkat tetapi pada kadar yang lebih perlahan.
Sebelum ini, ahli ekonomi Hoo Ke Ping meramalkan harga hartanah harga sederhana dan mewah akan turun pada 2018. Sesetengah pemerhati merasakan ia akan menguntungkan pembeli yang tidak mampu membeli rumah pada harga sekarang.
Heng Guie berkata cara yang betul untuk menangani masalah perumahan mampu milik adalah menambah bekalannya, bagaimanapun ia tidak boleh dilakukan melalui pembinaan rumah secara ad-hoc.
“Program perumahan mampu milik perlu dilakukan secara holistik. Ia perlu disokong antara lain oleh pengangkutan sewajarnya, perancangan bandar dan dasar fiskal,” katanya.
Ini kerana program perumahan mampu milik akan menjadi tidak mapan jika tidak dijalankan secara holistik.
Bagi mengalakkan pemaju membina lebih banyak rumah mampu milik, Heng Guie berkata kerajaan perlu melepaskan lebih banyak tanah, menyediakan insentif dan mengadakan langkah mengurangkan kos untuk pemaju supaya mereka boleh menurunkan harga rumah.
Sementara itu, Bendahari Kebangsaan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), Muztaza Mohamad berkata kerajaan perlu mempelopori inisiatif perumahan mampu milik.
Beliau berkata kerajaan memiliki tanah dan berada pada kedudukan lebih baik untuk mendapatkan pembiayaan untuk projek seperti itu.
“Sektor swasta didorong oleh pasaran. Kami beli tanah pada harga pasaran.”
Mustaza menambah pemaju perlu menghasilkan produk mengikut permintaan pasaran kerana mereka perlu membuat pulangan ke atas pelaburan mereka.