Penyanyi kumpulan Shades tarik saman RM1 juta terhadap pemilik blog

Penyanyi kumpulan Shades tarik saman RM1 juta terhadap pemilik blog

Plantif memfailkan saman fitnah terhadap defendan kerana menerbitkan artikel fitnah dalam blog yang mendakwa beliau merogol anak tirinya.

wanshades-court
KUALA LUMPUR: Penyanyi utama kumpulan ‘Shades’, Wan Shades menarik balik saman RM1 juta terhadap pemilik blog hiburan, Rotikaya.com berhubung artikel yang didakwa menfitnahnya.

Pada 31 Mac tahun lepas, Wan Shades atau nama sebenarnya Mohamad Faizal Mohd Ali, 44, memfailkan saman fitnah terhadap Nor Hamzie Md Hambali, 32, dengan mendakwa pada 20 Feb 2012, Nor Hamzie menerbitkan sebuah artikel berunsur fitnah dalam blog itu yang mendakwa plantif merogol anak tirinya.

Peguam Mohamad Lokman Abd Rahman yang mewakili defendan (Hamzie) memberitahu media plaintif (Faizal) menarik balik saman itu dengan kebebasan untuk memfailkannya semula.

Katanya,Hakim Datuk Yeoh Wee Siam membenarkan permohonan plaintif untuk menarik balik saman itu atas alasan ia melibatkan isu undang-undang.

Beliau berkata demikian selepas kes itu disebut di dalam kamar hakim dengan dihadiri peguam Nik Farhan Nik Mohd Tahir bertindak bagi pihak plaintif yang turut mengesahkan perkara itu.

Dalam pernyataan tuntutannya, Faizal mendakwa perkataan yang diterbitkan dalam artikel itu jelas merujuk kepadanya dengan nama sebenar dan gambarnya juga dimuat naik dan diterbitkan dalam blog itu, yang boleh dibaca oleh pengguna Internet.

Penyanyi itu mendakwa perkataan itu membawa maksud beliau merupakan suspek utama yang merogol anak tirinya sedangkan beliau tidak pernah mempunyai anak tiri dan juga tidak pernah dipanggil untuk disoal siasat oleh polis atau didakwa di mahkamah berhubung kejadian rogol.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.