
Hakim Datuk Hanipah Farikullah, yang membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh 104 pembeli rumah, berkata keputusan menteri yang bergantung pada peraturan untuk memberikan tempoh lanjutan itu bertentangan dengan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan).
“Permohonan pembeli rumah untuk membatalkan perintah menteri itu dibenarkan,” katanya.
BHL Construction Sdn Bhd terlibat dalam pembinaan sebuah kondominium di Jalan Kuchai Lama di sini di mana 104 plaintif memeterai perjanjian jual beli dengan mereka.
Satu daripada syarat perjanjian yang diperlukan adalah pemaju menyerahkan pemilikan kosong dalam tempoh 36 bulan atau bertanggungjawab membayar penalti bagi kelewatan penyerahan kepada pembeli.
Pemaju gagal menyiapkan dan menyerahkan unit kepada 104 pembeli dan menulis kepada Pengawal Perumahan di bawah kementerian itu untuk melanjutkan masa. Rayuan tersebut ditolak.
Pemaju kemudian mengemukakan rayuan kepada menteri pada 17 Okt 2015, membenarkan lanjutan 12 bulan.
Keputusan itu membenarkan pemaju menyerahkan milikan kosong kepada pembeli daripada 36 bulan hingga 48 bulan.
Terkilan, pembeli mencari remedi undang-undang di mahkamah tahun lepas.
Setiausaha Agung Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan Chang Kim Loong, yang menyambut baik keputusan itu, berkata hak dan kelayakan pampasan tidak boleh diambil Pengawal Perumahan atau menteri begitu mudah.
“Pihak yang terikat dengan syarat kontrak dan sebarang pengubahsuaian atau pengubahan perjanjian memerlukan persetujuan pembeli,” katanya kepada FMT.
Chang berkata, membenarkan lanjutan masa kepada pemaju ingkar menjadi penghinaan dan menyalahi niat serta tujuan undang-undang perumahan iaitu untuk melindungi pembeli.
Peguam Andy Wong Kok Leong, Viola De Cruz, Koh Kean Kang dan Andrew Chan mewakili pembeli rumah manakala Peguam Kanan Persekutuan Rosli Ahmad mewakili menteri.
Peguam R Rajes dan Nicolas Chang bertindak sebagai peguam pemerhati bagi Majlis Peguam.