Polis rampas bahan kimia, sarung tangan di kondominium KL

Polis rampas bahan kimia, sarung tangan di kondominium KL

Ketua Polis Selangor berkata, Jabatan Kimia akan mengeluarkan laporan berhubung bahan kimia yang ditemui itu.

abu-samah
PETALING JAYA:
Polis mengesahkan mereka merampas pelbagai bahan kimia, beberapa pasang sarung tangan dan kasut dari sebuah kondominium di Jalan Klang Lama berhubung kes pembunuhan Kim Jong Nam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Abdul Samah Mat yang dipetik The Star mengesahkan sepasukan anggota Hazmat (bahan berbahaya) memeriksa kondominium itu, Khamis lalu.

Beliau berkata, pasukan dari Balai Bomba KLCC itu mengambil bahagian dalam satu latihan polis di akademi polis di Cheras sebelum melakukan operasi di kondominium berkenaan.

“Pada peringkat ini, saya tidak boleh dedah butiran apa yang ditemui. Pasukan penyiasat kami masih menyiasatnya. Kami perlu tunggu Unit Forensik kami menjalankan analisis.

“Jika kami temui sesuatu, kita akan berhubung dengan Jabatan Kimia untuk mendapatkan pengesahan,” katanya dipetik akhbar itu.

Jabatan Kimia dijangka mengeluarkan laporan yang menentukan jenis bahan kimia ditemui dan jika ada bahan kimia lain yang digunakan dalam pembunuhan Jong Nam, selain agen saraf VX.

Menurut The Star, polis sedang menyiasat sama ada bahan kimia itu diperolehi dari dalam atau luar negara.

“Kami sedang menyiasatnya. Kami belum dapat apa-apa. Kami tidak pernah kata racun atau bahan kimia ini dibawa masuk dari tempat lain.

“Apa yang sudah dikenal pasti dengan jelas beberapa hari ini ialah jenis racun atau bahan kimia yang digunakan. Tetapi, kami tak kata dari mana ia diperolehi,” kata Samah.

Jong Nam yang tiba di Malaysia pada 6 Februari lalu dan sepatutnya menaiki penerbangan ke Macau pada jam 10.30 pagi 13 Februari lalu, diserang 2 wanita menyembur sejenis racun dan menekup mukanya dengan sehelai kain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Anak sulung kepada bekas pemimpin Korea Utara, Kim Jong Il itu mendapatkan bantuan di kaunter di kaunter khidmat pelanggan klia2, tetapi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Sehingga kini, 4 suspek ditahan polis untuk membantu siasatan. Mereka ialah seorang wanita Vietnam bernama Doan Thi Huong, Siti Aisyah dari Indonesia, Muhammad Farid Jallaludin (Malaysia) and Ri Jong Chol (lelaki Korea Utara).

Empat lagi suspek lelaki dari Korea Utara sudah melarikan diri ke negara lain pada hari kejadian. Mereka adalah Ri Ji Hyon, 33, Hong Song Hac, 34, O Jong Gil, 55, dan Ri Jae Nam, 57.

Dua lagi suspek Korea Utara ialah Hyon Kwang Song yang merupakan setiausaha kedua di Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur dan pekerja Air Koryo, Kim Uk Il, yang dikehendaki polis untuk membantu siasatan. Kedua-duanya dipercayai masih berada dalam negara ini.

Polis ambil sampel dari kondominium Jalan Klang Lama

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.