Kami tak paksa ahli Parlimen Islam undi RUU Hadi, kata PAS

Kami tak paksa ahli Parlimen Islam undi RUU Hadi, kata PAS

Mohamed Fadzli Hassan berkata, umat Islam perlu undi menyokong meningkatkan hukuman syariah seperti dicadangkan, tetapi mereka tidak boleh dipaksa berbuat demikian.

fadzil-hassan
GEORGE TOWN:
Seorang pemimpin PAS memberi jaminan ahli Parlimen Islam dari pelbagai parti tidak akan ditakut-takutkan atau dipaksa mengundi rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 yang dibawakan parti itu.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, parti itu mematuhi proses undang-undang dan perlembagaan dalam mempromosikan RUU persendirian yang dibentangkan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat, tahun lalu.

Beliau menafikan keperluan segera untuk memastikan majoriti mudah bagi membolehkan pindaan itu diluluskan adalah punca PAS memberi tekanan tidak wajar kepada ahli Parlimen Islam untuk mengundi atas dasar agama mereka.

RUU 355 Hadi dijangka dibentangkan untuk undian apabila Parlimen bersidang semula bulan depan.

Fadzli turut menolak dakwaan yang ahli Parlimen tidak menyokong RUU itu diancam dengan stigma sosial.

“Mereka sepatutnya mengundi memihak kepada (RUU 355), tetapi kita tidak boleh memaksa mereka.

“Kami mempunyai demokrasi, Parlimen, kebebasan memilih dan sebagainya. Kami hormatinya,” katanya selepas berucap pada forum bertajuk “Hudud atau tiada hudud?” yang diadakan di dewan YMCA, malam tadi.

Turut hadir ialah ahli Jawatankuasa Teknikal Hudud, Ahmad Jailani Abdul Ghani, ahli dan penyokong PAS serta kira-kira 12 orang bukan Islam.

Exco Kelantan itu berkata, forum itu diadakan untuk membolehkan orang ramai menghargai langkah diambil PAS.

“Mudah-mudahan apabila mereka faham, mereka akan undi memihak kepada (RUU),” katanya yang menekankan strategi PAS meyakinkan orang ramai dan wakil rakyat melalui dialog.

Mengenai kritikan ahli PAS terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang tidak menyokong RUU 355, beliau berkata, mungkin ada beberapa epal rosak.

“Apabila mempunyai ratusan ribu pengikut, pasti ada orang seperti itu,” katanya.

Pada 22 April 2015, Yang Dipertua PAS Kawasan Permatang Pauh, Omar Hassan adalah salah seorang pengkritik yang mahu Dr Wan Azizah memohon maaf kepada PAS kerana menolak hudud.

Dalam satu kenyataan pada 10 Februari lalu, Dr Wan Azizah berkata, PKR menerima dan mengiktiraf hak Hadi untuk mengemukakan RUU 355 walaupun bimbang dengannya.

“Sekiranya berlaku perdebatan mengenai usul itu, dan sebelum kita beralih untuk membuat keputusan seterusnya, kami akan tunggu penjelasan Hadi,” katannya.

Mengenai kenyataan Hadi yang umat Islam wajib menyokong RUU 355, Fadzli berkata: “Umat Islam perlu menyokong hudud kerana ia adalah undang-undang daripada Allah. Tetapi, jika mereka tidak sokong, apa kita boleh buat?”

Pada 7 April 2015, Hadi dilaporkan berkata, umat Islam sama ada daripada PAS, Barisan Nasional atau parti pembangkang lain, mempunyai kewajipan menyokong RUU 355.

Fadzli yang juga timbalan pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hal Asasi Manusia PAS Pusat berkata, Hadi menangguhkan pembentangan usul itu 2 kali sebelum ini kerana tidak yakin akan mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Fadzli berkata, PAS akan menerima apa sahaja keputusan undian di Parlimen nanti.

“Jika ia diluluskan, maka kita terimanya. Tetapi jika tidak diluluskan, kita akan terima juga.

“Tetapi, jika majoriti ahli Parlimen menyokong RUU itu, maka dari segi sistem perundangan Malaysia, apa yang disahkan dan diluluskan Parlimen dianggap undang-undang baik,” katanya.

RUU 355 pertama kali dibentangkan di Dewan Rakyat pada 26 Mei lalu oleh Hadi. Pada 24 November lalu, presiden PAS itu meminta Dewan Rakyat menangguhkan perbahasan RUU 355 ke sidang berikut pada Mac ini bagi membolehkan pindaan dilakukan terhadapnya RUU itu.

Antara pindaan dicadangkan ialah hukuman “penjara tidak melebihi 30 tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau 100 sebatan” berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 kali sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.