SPRM tahan 3 penyelia kem tentera disyaki rasuah

SPRM tahan 3 penyelia kem tentera disyaki rasuah

Menurut sumber, modus operandi yang mereka gunakan adalah dengan mendaftarkan beberapa syarikat kontraktor kelas F yang mempunyai lesen sah melalui permohonan tender penyelenggaraan.

sprm_tentera_600
KUALA LUMPUR:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 3 penyelia kem tentera kerana disyaki terlibat rasuah dalam tender penyelenggaraan di beberapa negeri.

Menurut sumber, mereka yang berusia 33 hingga 43 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Kuantan pada jam 6.50 petang semalam ketika hadir memberi keterangan.

Sumber itu berkata, ketiga-tiga suspek merupakan penyelia di kem berasingan, iaitu di Kota Bharu, Kelantan; Kuantan, Pahang dan Kluang, Johor.

“Siasatan mendapati terdapat penglibatan orang tengah dalam proses kelulusan tender penyelenggaraan bernilai kurang daripada RM50,000 di kem-kem tentera di beberapa negeri, termasuk Pahang, Kelantan dan Terengganu.

“Modus operandi yang mereka gunakan adalah dengan mendaftarkan beberapa syarikat kontraktor kelas F yang mempunyai lesen sah melalui permohonan tender,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sumber itu berkata, pegawai tentera yang terlibat dalam proses mengkaji dokumen permohonan dan inden kerja kemudian akan meluluskan syarikat tersebut.

Menurut sumber berkenaan, sebanyak 5% hingga 10% daripada jumlah keseluruhan bayaran akan diberikan kepada syarikat pemilik lesen, manakala wang selebihnya diberikan kepada orang tengah yang dilantik secara tidak sah untuk menjalankan kerja penyelenggaraan berkenaan.

“Pegawai tentera yang terlibat dalam meluluskan inden kerja itu disyaki menerima wang rasuah antara RM3,000 dan RM4,000 bagi setiap projek yang diluluskan,” katanya.

Akibat perbuatan itu, pihak pengurusan Kementerian Pertahanan (Mindef) mendapati kerja penyelenggaraan yang dijalankan tidak mengikut piawaian ditetapkan sehingga menyebabkan kerugian besar kepada kerajaan.

Sumber itu juga berkata, maklumat yang dikumpul SPRM mendapati, perbuatan salah guna kuasa itu bukan sahaja melibatkan pegawai bertugas di zon terbabit, tetapi juga pegawai dari Mindef.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Azam Baki ketika dihubungi Bernama mengesahkan semua tangkapan berkenaan dan menurutnya siasatan mendalam akan dijalankan, selain meneliti setiap dokumen berhubung projek penyelenggaraan yang diluluskan sebelum ini.

Beliau berkata, semua suspek direman 6 hari bermula hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Khamis lepas, 2 pegawai kanan tentera berpangkat Leftenan Kolonel dan Staf Sarjan ditahan di Kuantan dan Temerloh, Pahang kerana disyaki terlibat rasuah.

2 tentera termasuk leftenan kolonel terlibat rasuah direman 7 hari

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.