
Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Abdul Samah Mat yang dipetik Bernama berkata, tindakan itu sebahagian daripada prosedur siasatan dan sampel yang diambil dari The Verve Suite itu akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis.
“Namun, kita tidak dapat mengesahkan secara spesifik sama ada sampel itu berupa cecair atau bahan kimia. Belum dapat disahkan secara positif kerana ia masih disiasat,” katanya selepas merasmikan festival JomFest Carnival-BigFood hari ini.
Pada masa sama, Samah berkata, polis juga sedang bekerjasama dengan Jabatan Kimia, Jabatan Forensik dan Agensi Nuklear Malaysia untuk menyiasat jika bahan kimia yang digunakan dalam kes pembunuhan Jong Nam mempunyai kesan radioaktif.
“Siasatan turut meliputi semua lokasi berkaitan kes,” kata sambil menambah ia adalah langkah berjaga-jaga kerana rakyat bimbang dengan bahan digunakan dalam kes pembunuhan itu.
Beliau turut menafikan laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris kononnya seorang lelaki ditahan dalam serbuan di kondominium itu.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan berkata, laporan awal analisis Jabatan Kimia mendapati bahan kimia Ethyl S-2 Diisopropylamino Ethyl Methylphosphonothioate atau agen saraf VX terdapat di luaran mata dan muka Jong Nam, abang sebapa diktator Korea Utara, Kim Jong Un.
Katanya, bahan kimia itu dilarang bawa masuk ke Malaysia kerana ia disenaraikan sebagai senjata kimia di bawah Jadual 1, Akta Konvensyen Senjata Kimia Malaysia 2005 dan Konvensyen Senjata Kimia (CWC) 1997.
Khalid juga berkata, adalah sukar untuk mengesan bahan kimia itu jika ia dibawa masuk dalam kuantiti kecil.
Jong Nam yang tiba di Malaysia pada 6 Februari lalu, dijadualkan berlepas ke Macau pada pagi 13 Februari lalu, diserang 2 wanita dengan sejenis cecair racun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).
Anak sulung kepada bekas pemimpin Korea Utara, Kim Jong Il itu kemudiannya mendapatkan bantuan di kaunter khidmat pelanggan klia2, tetapi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.
Sehingga kini, 4 suspek ditahan polis, iaitu seorang wanita Vietnam bernama Doan Thi Huong, suspek ke-2 dari Indonesia bernama Siti Aisyah, lelaki tempatan bernama Muhammad Farid Jallaludin dan suspek ke-4 yang merupakan warga Korea Utara, Ri Jong Chol untuk membantu siasatan.
Warga Malaysia itu kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis.
Siasatan polis Malaysia setakat ini mendapati Jong Nam diracuni dan ramai percaya ia merupakan angkara pembunuh upahan rejim Pyongyang yang tidak menyenangi Jong Nam.