Korea Utara guna syarikat asing elak sekatan dunia

Korea Utara guna syarikat asing elak sekatan dunia

Laporan PBB mengenal pasti 2 syarikat perdagangan Korea Utara yang dikaitkan dengan entiti dikenakan sekatan, termasuk Biro Umum Peninjauan.

north-korea_un_600
NEW YORK:
Korea Utara mengelakkan sekatan antarabangsa melalui rangkaian canggih syarikat luar negara yang sebahagiannya berpunca daripada akses berterusan kepada sistem perbankan, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang dilihat Reuters.

PBB melaksanakan sekatan ke atas Korea Utara dan larangan ketat senjata untuk menghalang pembangunan program nuklear dan peluru berpandu diharamkan. Panel pakar PBB yang mengeluarkan laporan draf 100 muka surat, ditubuhkan untuk menyiasat pelanggaran sekatan itu.

“Bank dan entiti tertentu terus beroperasi di bawah sekatan dengan menggunakan ejen sangat berpengalaman dan terlatih untuk memindahkan wang, manusia dan barang, termasuk senjata dan bahan berkaitan merentasi sempadan,” menurut laporan itu.

Katanya, negara anggota PBB perlu “sentiasa mengawasi” diplomat Korea Utara yang terbabit dalam aktiviti komersil kerana ada di kalangan mereka mungkin menyediakan bantuan kewangan kepada rangkaian haram.

Korea Utara “melanggar sekatan melalui perdagangan barangan dilarang, dengan teknik mengelak yang semakin meningkat dari segi skala, skop dan kecanggihan,” kata laporan itu.

Laporan itu menerangkan secara terperinci penggantungan peralatan komunikasi tentera buatan Korea Utara yang bakal dihantar ke Eritrea pada Julai 2016.

Penggantungan itu adalah yang ke-2 dipintas untuk peralatan komunikasi tentera Korea Utara ke Eritrea, menunjukkan perdagangan senjata berterusan antara 2 negara itu.

Peralatan yang dirampas itu adalah sebahagian penghantaran udara, termasuk 45 kotak aksesori dan radio medan perang, menurut laporan berkenaan.

Radio itu dihasilkan sebuah syarikat berpangkalan di Malaysia dikenali sebagai “Glocom” yang dikawal Biro Umum Peninjauan – agensi perisikan Korea Utara ditugaskan untuk operasi luar negara dan perolehan senjata yang dikenakan sekatan, menurut laporan itu.

Agensi perisikan

Laporan itu mengenal pasti 2 syarikat perdagangan Korea Utara yang menurut sebuah negara anggota PBB tidak dikenali, ada kaitan dengan entiti dikenakan sekatan, termasuk Biro Umum Peninjauan.

Laporan itu turut menyatakan Korea Utara menggunakan sistem kewangan bagi membayar operasinya yang dikenakan sekatan.

“Di sebalik aktiviti haram itu adalah akses berterusan Republik Demokratik Rakyat Korea kepada sistem perbankan antarabangsa,” kata laporan itu yang menggunakan gelaran rasmi Korea Utara.

“Sekalipun dikenakan sekatan ketat kewangan pada 2016, rangkaian negara itu menyesuaikan diri menggunakan kebijaksanaan untuk mengakses saluran perbankan rasmi,” kata laporan itu.

Dalam kes di mana akses kewangan lebih terhad, ejen Korea Utara menggunakan banyak wang tunai dan emas untuk memintas sistem kewangan sepenuhnya serta menjadikan warga asing sebagai orang tengah dan pemudah cara.

Menurut laporan itu, Korea Utara terus mengeksport mineral diharamkan tanpa menghiraukan sekatan terhadap eksport arang batu pada tahun lalu – sumber utama untuk program nuklear dan peluru berpandu Pyongyang.

China pernah berjanji akan pengimportan arang batu dari Korea Utara sehingga akhir tahun ini. Khamis lalu, Korea Utara menegur Beijing yang merupakan penyokong diplomatik utamanya, susulan larangan itu.

Laporan PBB itu berkata, pelaksanaan sekatan terhadap Korea Utara “masih tidak mencukupi dan sangat tidak konsisten”, justeru mereka menggesa lebih banyak langkah dilaksanakan untuk mengatasi kelemahan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.