
Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, jika KWSP berada dalam kesulitan atau mengalami kerugian, agensi itu tidak akan mampu membayar dividen langsung, apatah lagi mengeluarkan dividen 5.7% bagi 2016.
Bekas ahli Parlimen daripada Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad bersama Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen (PKR) dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok (DAP) secara berniat jahat menuduh KWSP kini mengalami masalah kewangan, justeru mengisytiharkan kadar dividen lebih rendah pada 5.7% bagi 2016 berbanding 6.4% pada tahun sebelumnya.
Tiga ahli politik senior itu turut mendakwa ia berikutan pelaburan KWSP dalam 1Malaysia Development Bhd (1MDB), dengan secara tidak benar mendakwa melibatkan nilai RM1.72 bilion.
Abdul Rahman yang juga pengarah komunikasi strategik Barisan Nasional (BN) berkata, pendedahan KWSP kepada 1MDB adalah RM200 juta, bukannya RM1.72 bilion.
Katanya, pelaburan ini adalah dalam bentuk Sukuk 30 tahun yang dikeluarkan pada 2009 dan dijamin sepenuhnya oleh kerajaan.
Menjelas lebih lanjut, pendedahan KWSP juga adalah bagi 2 bon RM1.5 bilion untuk 2 loji Pengeluar Tenaga Persendirian (IPP), iaitu Panglima Power Sdn Bhd (PPSB) dan Jimah Energy Ventures Sdn Bhd (JEV).
“Bon ini dibeli oleh KWSP, masing-masing pada 2003 dan 2005 sebelum 1MDB diwujudkan dan turut disokong aliran tunai kukuh,” jelasnya.
Sebagaimana diketahui umum, katanya, kedua-dua IPP itu dibeli 1MDB baru-baru ini dan sejak itu ia dijual melalui satu urus niaga yang dilengkapkan pada Mac 2016, sebagai sebahagian pelan rasionalisasi 1MDB.
Oleh itu, katanya, kedua-dua bon tersebut tidak lagi berkait dengan 1MDB.
“Ketiga-tiga bon ini adalah bon perolehan tetap yang membayar kupon tetap dan tidak pernah tertunggak. KWSP tidak pernah mengalami kerugian daripadanya,” tegasnya.
Sebagai tambahan, katanya, pendedahan KWSP kepada Sukuk RM200 juta yang dijamin kerajaan adalah hanya 0.02% daripada keseluruhan aset KSWP, iaitu RM731 bilion.
Sehubungan itu, katanya, dakwaan ketiga-tiga pemimpin pembangkang itu kononnya KWSP menghadapi masalah kewangan atau 1MDB menyebabkan kerugian kepada KWSP adalah tidak benar dan berniat jahat.
“Sebagai bekas dan ahli Parlimen yang masih berkhidmat, ketiga-tiga pemimpin pembangkang ini gagal melaksanakan tanggungjawab mereka untuk berlaku jujur kepada rakyat apabila membuat tuduhan mengarut seumpama itu dalam kenyataan bersama mereka.
“Mereka seharusnya tidak mengulangi tindakan seumpama ini pada masa akan datang.”
Katanya, berdasarkan pembayaran dividen sejak 2000, situasai ekonomi serantau dan global masa kini serta prestasi tabung kewangan pekerja serta dana bersama lain di rantau ini, pemberian 5.7% oleh KWSP harus diberi pujian.
Bagi tempoh 9 tahun dari 2000 hingga 2008, KWSP merekodkan kadar pembayaran dividen purata sebanyak 4.99% dan dari 2009 hingga 2016, purata ini meningkat kepada 6.1%, katanya.
“Saya yakin dengan pertumbuhan positif Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tempoh 2 suku tahun sebelum ini dan lonjakan terhadap indeks Bursa Malaysia, insya Allah, prestasi KWSP akan bertambah baik bagi tahun 2017,” katanya.