
Kaunselor Bahagian Konsulat dan Pentadbiran kedutaan itu, Kim Yu Song memberitahu yang Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menyatakan kepada media pihaknya sudah memohon kerjasama kedutaan untuk mendapatkan kenyataan Setiausaha Kedua, Hyon Kwang Song dan pekerja Air Koryo, bernama Kim Uk Il.
Bagaimanapun katanya, sehingga hari ini pihaknya belum menerima sebarang surat rasmi daripada PDRM atau Wisma Putra berhubung perkara itu.
“Kami turut mengecam laporan sebuah media Korea Selatan yang melaporkan kami sudah menerima surat berkenaan semalam.
“Saya sudah menyatakan lebih awal semalam dalam bahasa Korea namun mereka melaporkan sebaliknya,” katanya kepada pemberita di hadapan kedutaan, sebentar tadi.
Sebelum ini, Khalid berkata polis sedang menyoal Kwang Song dan Uk Il berhubung pembunuhan Jong Nam.
Jong Nam, abang sebapa pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, tiba di Malaysia pada 6 Feb, dan dibunuh 2 wanita menggunakan racun pada 13 Feb semasa berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) semasa menunggu penerbangan ke Macau.
Beliau sempat bantuan di kaunter perkhidmatan pelanggan dan dirawat di klinik lapangan terbang tetapi meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.
Polis menahan 4 suspek bagi membantu siasatan. Mereka adalah wanita warga Vietnam bernama Doan Thi Huong, Siti Aishah (Indonesia), Muhammad Farid Jallaludin (Malaysia) dan Ri Jong Chul (Korea Utara).
Empat suspek lelaki lain, yang semuanya warga Korea Utara, berjaya melarikan diri pada hari yang sama pembunuhan berlaku. Mereka dikenal pasti sebagai Ri Ji Hyon, Hong Song Hac, O Jong Gil dan Ri Jae Nam.
Penyiasatan pembunuhan Jong Nam ini mencetuskan krisis diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara selepas Pyongyang membantah bedah siasat dijalankan, dan menuduh Malaysia bersekongkol dengan Korea Selatan serta “cuba menyembunyikan sesuatu”.
Awal hari ini, polis mendapati Jong Nam dibunuh dengan bahan kimia Ethyl S-2 Diisopropylamino Ethyl Methylphosphonothioate atau agen saraf VX.