
Individu yang dikatakan “agak terkenal dalam teater dan seni pentas” itu datang ke Asia Tenggara pada 1987, selepas dipecat daripada Akademi Milton yang berprestij di Boston, kerana mencabul seorang pelajar, perbuatan jenayah yang diakui beliau.
Beliau dilaporkan mengajar di beberapa universiti tempatan di negara ini.
Menurut akhbar, pensyarah berkenaan mengajar di Akademi Milton dari 1973 hingga 1987, dan didapati terlibat dalam salah laku seks dengan pelajar lelaki semasa beliau di sana.
Pendedahan itu dimaklumkan awal minggu ini selepas akademi itu diarahkan menjalankan siasatan untuk mengetahui jika terdapat sebarang kes pelajar didera secara seksual oleh kakitangan akademik pada masa lalu.
Pada Selasa, Akademi Milton mengeluarkan hasil siasatan yang berjalan selama 9 bulan, dilakukan sebuah firma yang diupah dari New York.
Penemuan paling mengejutkan adalah pensyarah berkenaan mendera secara seksual sekurang-kurangnya 12 pelajar lelaki semasa tempoh perkhidmatannya. Kesemua mangsa di bawah umur pada masa itu.
Satu lagi pendedahan syarikat perunding swasta, T & M Private Resources adalah pihak pengurusan Akademi Milton pada masa itu mengetahui tentang salah lakunya, tetapi membenarkan beliau terus mengajar di sana.
Akademi juga mengakui, guru besar ketika itu “mengetahui” salah laku pensyarah pada 1982, “tetapi membenarkan beliau terus bekerja di sana selama 5 tahun lagi sebelum dipecat pada 1987”.
Menurut The Star, pensyarah itu mempunyai profil LinkedIn, dan menunjukkan beliau kini berada di Thailand. Percubaan akhbar untuk menghubunginya tidak berjaya.
Memohon maaf bagi tindakan kurang teliti pada masa lalu dalam mengendalikan kes penderaan oleh pensyarah berkenaan, Akademi Milton juga berkata ia menghubungi pihak berkuasa imigresen AS mengenai penemuan itu, termasuk butir majikan sejak beliau meninggalkan AS.