
Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata Jong Nam meninggal dunia di Malaysia bukannya di Korea Utara dan itu bermakna siasatan berada di bawah bidang kuasa negara.
“Tidak,” katanya ketika ditanya mengenai hasrat Korea Utara untuk bekerjasama dengan polis Malaysia dalam siasatan pembunuhan itu.
“Itu bukan bidang kuasa mereka. Itu bidang kuasa kita,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.
Sebelum ini, Duta Korea Utara di Malaysia Kang Chol mencadangkan pihaknya diberikan peluang untuk terlibat dalam siasatan polis.
Sekiranya Malaysia bersetuju, Korea Utara akan menghantar delegasi peguam bagi membantu siasatan.
Korea Utara bertindak demikian selepas meluahkan rasa tidak percayanya terhadap siasatan dilakukan polis dan keputusan bedah siasat.
Korea Utara juga meminta diberikan peluang untuk bertemu 2 suspek yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan Jom Nam.
Kenyataan Chol itu turut dibidas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman yang mengingatkan Korea Utara supaya tidak menuduh, kerana ia merupakan penghinaan amat besar.
Sehingga kini 3 individu ditahan, termasuk 2 wanita dan seorang warga Korea Utara. Dua suspek wanita itu merupakan warganegara Indonesia dan Vietnam.
Isnin lepas, Jong Nam dilaporkan berada di lapangan terbang klia2 untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila secara tiba-tiba seorang wanita menekup mukanya dengan kain yang dipercayai mengandungi cecair beracun.
Jong Nam, yang menggunakan nama Kim Chol, dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital Putrajaya bagi mendapatkan rawatan.