Anak Jong Nam tiba di Malaysia hanya khabar angin

Anak Jong Nam tiba di Malaysia hanya khabar angin

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata Kim Han Sol akan diberi perlindungan polis jika bertemu Wisma Putra atau pihak berkuasa berkenaan dahulu.

Khalid-Abu-Bakar-kimhalsol
PETALING JAYA: Khabar angin mengatakan anak lelaki warga Korea Utara Kim Jong Nam tiba di Malaysia semalam dan pergi ke rumah mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mengenal pasti mayat bapanya adalah tidak benar, lapor The Star.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata demikian ketika menafikan laporan portal berita Korea Selatan, Arirang yang menyatakan Kim Han Sol melawat rumah mayat semalam.

“Tidak ada ahli keluarga tampil menuntut mayat Jong Nam. Jangan dengar khabar angin,” katanya dipetik daripada akhbar itu.

Jong Nam, abang sebapa ketua Korea Utara, Kim Jong Un tiba di Malaysia pada 6 Februari dan diserang 2 wanita di klia2 sebelum sempat menaiki pesawat ke Macau yang dijadualkan berlepas jam 10.30 pagi pada minggu lalu.

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata perlindungan polis akan diberikan kepada Han Sol, 22, jika beliau datang ke Kementerian Luar, terlebih dulu.

“Dia hanya perlu hubungi Wisma Putera atau pihak berkuasa berkenaan yang lain jika berhasrat untuk datang ke Malaysia.

“Kami akan melindungi dia kerana kami pun tidak mahu ada lagi pembunuhan berlaku di sini,” katanya dipetik sebagai berkata kepada The Star.

Pada Isnin, media tempatan dan asing berkumpul di klia2 apabila khabar angin tersebar menyatakan Han Sol dijadualkan akan tiba dari Macau, tetapi ia sebenarnya hanya berita palsu.

Ketika ditanya mengenai 4 suspek warga Korea Utara yang dipercayai sudah meninggalkan negara sejurus selepas Jong Nam terbunuh, Nur Jazlan berkata sebarang tindakan lanjut akan bergantung pada identiti mayat Jong Nam dan punca kematian dikenal pasti.

“Jika kematian itu mencurigakan, polis boleh minta 4 suspek berkenaan diekstradisi untuk membantu siasatan.

“Soalannya ialah sama ada Korea Utara akan layan kita atau tidak. Jika mereka (Korea Utara) kata mereka tidak jumpa 4 suspek itu, apa kita boleh buat,” katanya merujuk kepada individu yang dipercayai sudah pulang ke Pyongyang menerusi laluan Jakarta, Dubai dan Rusia.

Menurut The Star, Bukit Aman sudah meminta Interpol menjejaki 4 suspek itu, yang dikenal pasti sebagai Ri Ji Hyon, Hong Song Hac, O Jong Gil dan Ri Jae Nam dengan gambar mereka turut disiarkan.

Polis setakat ini menahan 4 suspek bagi membantu siasatan, termasuk 2 wanita dari Vietnam dan Indonesia yang dikenali sebagai Doan Thi Huong dan Siti Aisyah serta Muhammad Farid Jallaludin (Malaysia) dan Ri Jong Chul (Korea Utara).

Media berkumpul di klia2 tunggu ketibaan anak Jong Nam

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.