4 juta pengundi layak belum mendaftar, kata Bersih

4 juta pengundi layak belum mendaftar, kata Bersih

Badan pemantau pilihan raya melancarkan 'Kempen U' bertujuan untuk menyebarkan kesedaran mengenai kepentingan mengundi pada PRU akan datang

mari-chin
PETALING JAYA:
Badan pemantau pilihan raya Bersih 2.0 melancarkan “Kempen U” untuk menggesa lebih 4 juta pengundi layak mendaftarkan diri mereka sekarang untuk pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi Maria Chin Abdullah berkata kempen ini bertujuan untuk menyebarkan kesedaran mengenai kepentingan mengundi.

“Pada masa ini kita masih kurang mendaftar pengundi baru. 4.4 juta pengundi layak belum mendaftarkan diri dan proses agak perlahan.

“Setiap suku tahun, terdapat 170,000 hingga 180,000 pengundi belum daftar.

“Sebab itu kita merasakan kempen ini boleh memberi ‘rangsangan’ dan kami cuba untuk mendapatkan seberapa ramai orang yang mungkin untuk mendaftar sebagai pengundi kerana ini sangat penting untuk pilihan raya akan datang,” katanya kepada pemberita pada sidang media di ibu pejabat Bersih hari ini.

Kempen akan mula berjalan pada 4 Mac di Kuantan, Pahang dan Inanam, Sabah, dan akan berakhir pada 25 Mac di Petaling Jaya, Selangor.

“Sebab ia dipanggil ‘Kempen U’ kerana ‘U’ adalah ‘undi’ dan ‘U’ adalah ‘kamu’,” kata Maria.

“Rakyat mempunyai banyak sebab untuk mengundi dan kami mahu bawa mesej ini kepada orang ramai kerana ada tujuan kita menjadi pengundi.

“Oleh itu kami umumkan Mac sebagai bulan pendaftaran pengundi untuk mendorong orang ramai mendaftar dan berharap semua orang faham kepentingnya.”

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Shahrul Mohd Aman Saari berkata kempen dijalankan pada Mac kerana Suruhanjaya Pilihan Raya memproses pendaftaran baharu pada masa itu.

“Setiap pendaftaran baharu akan mengambil masa 6 bulan untuk diproses dan diwartakan.

“31 Mac akan menjadi tarikh akhir rakyat boleh mendaftar untuk mengundi jika pilihan raya umum ke-14 diadakan pada September tahun ini.”

Shahrul sempat membidas SPR kerana tidak cekap mendaftarkan pengundi menyebabkan Bersih terpaksa “mengisi kekurangan” itu.

“SPR menyukarkan proses pendaftaran pengundi. Pendaftaran pengundi salah satu peranan asas mereka tetapi gagal menjalankan tanggungjawab itu.

“Oleh kerana mengundi bahagian yang penting dalam proses demokrasi, Bersih 2.0 mengorak langkah mengisi kekurangan itu melalui ‘Kempen U’.”

Bagaimanapun, Shahrul mengalu-alukan kerjasama SPR dalam inisiatif terbaharu ini.

“Jika SPR bersungguh mahu menjalankan tugasnya, kami menjemput mereka untuk bekerjasama dengan Bersih 2.0 menggembleng pendaftaran pengundi.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.