Kes bunuh Jong Nam: Biar polis, unit forensik jalankan tugas

Kes bunuh Jong Nam: Biar polis, unit forensik jalankan tugas

Menteri kesihatan yakin pihak polis dan unit forensik lebih tahu kemampuan serta bidang tugas masing-masing.

s-subramaniam-polis
KUALA LUMPUR: Pihak polis dan unit forensik tidak harus diberi tekanan ketika mereka melaksanakan tugas menyiasat kes pembunuhan Kim Jong Nam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Kedua-dua pihak itu, katanya perlu diberi ruang menjalankan tugas masing-masing kerana mereka tahu tanggungjawab yang digalas.

“Mereka tidak boleh ditentukan sama ada oleh kerajaan atau akhbar untuk melakukan kerja lebih cepat daripada apa yang mereka perlu lakukan. Ini tugas mereka untuk melakukannya.

“Akhirnya polis yang bertanggungjawab. Mereka perlu pastikan mereka mempunyai jawapan dan yakin dengannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita bagi mengulas mengenai perkembangan kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong Un, di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (klia2) Isnin lepas.

Dr Subramaniam berkata setakat ini pihaknya belum menerima status terbaru mengenai proses forensik terhadap mayat Kim Jong-nam.

Terdahulu, menteri itu melancarkan “Cancerfly Employment Portal” dan CanBazaar Hospital Kuala Lumpur (HKL) 2017 yang diadakan dengan kerjasama Jabatan Radioterapi dan Onkologi HKL hari ini.

Portal www.cancerfly.com menjadi portal pekerjaan pertama khusus untuk membantu pesakit kanser memperoleh pekerjaan dengan mempamerkan produk atau perkhidmatan mereka kepada orang ramai.

Pengasas portal, Dr M Sri Ganesh berkata melalui portal itu, pesakit kanser boleh menjana pendapatan dengan mengiklankan produk mereka selain peluang mendapat kerja yang boleh dilakukan secara sambilan dari rumah.

“Kami turut memohon majikan dari sektor awam dan swasta untuk tampil dan menawarkan jawatan kosong kepada pesakit kanser kerana kami mendapati ramai pesakit yang berjaya dirawat mampu bekerja semula,” katanya.

Turut hadir Pengarah HKL Datuk Dr Zaininah Mohd Zain.

Keputusan bedah siasat Jong Nam mungkin Rabu

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.