
“Tidak nampak pun kelibat kedua-duanya. Cuma ungkapan salam disampaikan melalui Datuk Seri Jamil Khir Baharom, yang kita tidak tahu mewakili siapa. Kerajaan atau Umno?” soal lidah pengarang laman berita kumpulan NGO itu, merujuk kepada Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Jamil, menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab hal ehwal agama, hadir pada himpunan anjuran PAS itu ditemani timbalannya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.
Artikel di laman rasmi Isma itu turut mempersoalkan kehadiran Zahid pada sambutan Thaipusam di Batu Caves pada 9 Feb lalu.
“Tapi hairannya mereka boleh pula hadir upacara keagamaan Thaipusam di Batu Caves.
“Untuk memartabatkan Islam – agama yang dianuti datuk nenak moyang mereka – susah pula untuk mereka hadir,” katanya.
Selain itu, ia turut membuat perbandingan dengan “ucapan berapi-api” Najib dan Zahid pada Himpunan Solidariti Ummat untuk mengetengahkan nasib penduduk Rohingya di Myanmar, yang turut dihadiri pemimpin kanan PAS, Disember lalu.
“Benarlah, kera di hutan disusukan, anak sendiri kelaparan. Perjuangan untuk etnik luar lebih diutamakan, tetapi untuk kepentingan Islam sendiri tidak didahului,” menurut artikel itu.
Sabtu lalu, puluhan ribu penyokong PAS membanjiri Padang Merbok di Kuala Lumpur menyatakan sokongan untuk rang undang-undang (RUU) meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, bagi memberikan kuasa kepada mahkamah menjatuhkan hukuman lebih berat ke atas pesalah syariah.
Walaupun PAS mendakwa kehadiran 300,000 orang, pihak polis menganggarkan jumlah peserta kira-kira 20,000.
Berucap pada perhimpunan itu, Jamil berkata beliau mendapat restu Najib, dan turut menyampaikan “salam” perdana menteri dan timbalannya kepada peserta.
Lidah pengarang Isma itu berkata kehadiran Jamil tidak memadai.
“Kenapa hanya Jamil Khir sahaja yang hadir. Mana menteri-menteri Islam di Malaysia? Mana pemimpin-pemimpin Umno yang semuanya Islam dan memerintah Malaysia sebuah negara Islam?
“Mana Salleh Said Keruak? Mana Ahli-Ahli Parlimen yang beragama Islam,” tulisnya merujuk menteri komunikasi dan multimedia.
Katanya lagi, agama Islam “dihina” oleh orang “kafir” di Malaysia.
“Tetapi Najib dan Zahid, wajib menerangkan kepada mereka mengenai usaha itu supaya pemimpin-pemimpin kafir itu tidak buta, pekak dan tuli.”