Kelantan kalah kerana silap pemain, bukan tunggakan gaji

Kelantan kalah kerana silap pemain, bukan tunggakan gaji

Ketua Jurulatih Kelantan berkata, 2 penyerang import yang tidak dapat diturunkan akibat cedera, ternyata memberi kesan kepada perancangan awal pasukan itu.

zamanimisbah
KOTA BHARU: Tunggakan gaji bukan penyebab kekalahan Kelantan kepada Kedah dalam saingan Liga Super di Stadium Muhammad IV malam tadi, kata pemain pertahanannya.

Nor Hafiz Zamani Misbah berkata, kekalahan itu berikutan kesilapan yang dilakukan pemain dan tiada kena-mengena dengan isu tunggakan gaji.

“Pasal masalah gaji, saya tidak mahu komen apa-apa, masalah itu biar pihak pengurusan menguruskannya. Sebagai pemain, kami perlu memberikan tumpuan kepada setiap perlawanan dan bersikap profesional,” katanya ketika ditemui malam tadi.

Semalam, akhbar melaporkan pemain Kelantan tidak dibayar gaji selama 3 bulan sejak November hingga Januari lalu.

Pada perlawanan malam tadi, Kedah menang tipis 1-0 ke atas Kelantan selepas jaringan tunggal kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar pada minit ke-81 menerusi sepakan penalti cukup untuk skuad Helang Merah meraih 3 mata berharga.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail berkata, kehilangan 2 penyerang import iaitu Mohammed Ghaddar yang tidak dapat diturunkan akibat cedera, nyata memberi kesan kepada perancangan awal pasukan itu.

“Selain itu, penyerang import iaitu Alessandro Padovani Celin yang dikeluarkan akibat kecederaan pada minit ke-28 turut memberi kesan kepada posisi terbabit.

“Saya terpaksa menggunakan penyerang muda tempatan, iaitu Muhammad Danial Ashraf Abdullah, walaupun pemain ini kurang pengalaman,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.