Kes bunuh Jong Nam: Polis tahan lelaki Korea Utara

Kes bunuh Jong Nam: Polis tahan lelaki Korea Utara

Polis menahan seorang lelaki, yang memiliki pasport Korea Utara, dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Kuala Lumpur, lewat malam semalam.

Chang-Keong_polis_600new
PETALING JAYA:
Polis menahan seorang warga Korea Utara dikenali sebagai Ri Jong Chol, salah seorang daripada 4 suspek yang dikehendaki dalam kes pembunuhan Kim Jong Nam, abang pemimpin Korea utara di Malaysia pada Isnin lalu.

Ri, 47, ialah antara 4 lelaki yang diburu polis kerana dipercayai menjadi dalang menghasut 2 lagi suspek wanita untuk melakukan pembunuhan itu dengan meracun Jong Nam di klia2.

Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata suspek warga Korea Utara itu ditahan di Selangor pada jam 9.50 malam tadi.

Suspek dikenal pasti menerusi kad i-Kad miliknya, iaitu kad yang dilancarkan 3 tahun lalu bagi memastikan semua pekerja asing berdaftar memiliki dokumen pengenalan bagi membantu pihak berkuasa memeriksa maklumat peribadi, termasuk syarikat tempat mereka bekerja. Ia dikeluarkan sebaik saja pekerja asing memperbaharui permit kerja mereka.

Tangkapan terbaru itu menjadikan polis setakat ini menahan 4 individu bagi membantu dalam siasatan kes pembunuhan yang menjadi tumpuan media antarabangsa sejak minggu lalu.

Polis sebelum ini dilaporkan berkata 2 wanita dan 4 lelaki ialah suspek utama dalam pembunuhan Jong Nam, abang sebapa pada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un.

Pada Rabu, polis menahan seorang wanita pemegang pasport Vietnam, bernama Doan Thi Huong, selepas dia kembali ke tempat kejadian untuk menaiki pesawat ke Vietnam.

Pada awal Khamis, polis menyerbu bilik di sebuah hotel di Ampang, Kuala Lumpur untuk menahan suspek wanita kedua. Suspek memegang pasport Indonesia dengan nama Siti Aisyah, dari Serang, berhampiran Jakarta.

Kedua-dua suspek wanita itu dikenal pasti berdasarkan rakaman CCTV yang diambil dari terminal klia2 pada hari kejadian.

Suspek ketiga dalam tahanan polis ialah warganegara Malaysia berumur 20-an, dan dikatakan teman lelaki Siti Aisyah.

Dengan penahanan terbaru itu, polis kini memburu 3 lagi lelaki dalam siasatan pembunuhan Jong Nam, menurut akhbar itu.

Jong Nam, anak sulung bekas pemimpin Korea Utara, Kim Jong Il, tiba di Malaysia pada 6 Februari dan dijadualkan menaiki pesawat ke Macau jam 9 pagi pada Isnin.

Ketika di klia2, dia didatangi seorang wanita yang menyemburnya dengan sejenis cecair manakala seorang lagi wanita menyerkup mukanya.

Mangsa meminta bantuan perubatan di kaunter perkhidmatan klia2 tetapi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

2 wanita, 4 lelaki rancang bunuh Kim Jong Nam

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.