
Paul, seorang paderi kanan di Komuniti Praise, berkata gadis yang diselamatkannya itu didera secara seksual oleh abangnya sendiri.
Ibu mangsa tahu mengenai keadaan itu tetapi tahu tetapi tidak berbuat apa-apa untuk menghentikan penderaan yang berlaku sejak beberapa tahun.
Paul hanya mengetahuinya apabila ibu berkenaan membawa anaknya ke gereja atas sebab lain dan nalurinya mengesyaki terdapat sesuatu yang tidak kena dengan anak perempuan yang ketika itu masih berusia di awal remaja.
“Saya mengambil keputusan segera bercakap dengannya dan mengetahui apa yang berlaku. Itu yang saya lakukan dan tidak lama selepas itu, beliau berterus-terang dan bercakap mengenai penderaan seksual dihadapinya.
“Beliau mahu ia dihentikan tetapi masih enggan membuat laporan. Saya mendesak dan apabila dia bersetuju, saya membawanya ke hospital, membantunya membuat laporan polis, dan pergi ke mahkamah untuk mendapatkan hak penjagaannya.
“Beliau tinggal dengan saya sejak lebih setahun sekarang,” kata Paul kepada FMT.
Tetapi kes yang Paul terima ini bukan anomali. Sekurang-kurangnya tidak lagi.
Dalam laporan disiarkan tahun lepas, FMT memetik pakar kanak-kanak Dr Zahilah Filzah Zulkifli berkata bagi setiap kes penderaan seksual kanak-kanak dilaporkan, 9 tidak dilaporkan.
Dr Zahilah ialah ketua pasukan Scan (Pasukan penderaan dan pengabaian Kanak-kanak yang disyaki) di hospital kerajaan di Lembah Klang.
Aktivis Syed Azmi Alhabshi berkata ini salah satu sebab mengapa ia begitu penting bagi pemimpin agama menyertai usaha menentang penderaan seksual di kalangan kanak-kanak.
“Mereka dekat dengan masyarakat, dan menjadikan mereka pihak berkuasa terbaik untuk menyokong kepentingan melindungi dan memastikan keselamatan kanak-kanak,” katanya kepada FMT.
Paul bersetuju. Paderi itu berkata pemimpin agama mempunyai peranan penting, terutama dalam membantu kanak-kanak memerangi penderaan yang dilakukan ke atas mereka.
Tetapi untuk melakukan ini, pemimpin perlu mewujudkan persekitaran di mana kanak-kanak dan pihak yang rapat dengan mereka berasa selesa dan cukup selamat untuk bercakap mengenai topik tabu, “seks”.
“Jika semua orang bangkit membincangkan perkara itu secara terbuka, ia boleh mewujudkan kesedaran dan rakyat akan lebih berhati-hati dengan persekitaran mereka, dan orang di bawah jagaan mereka.
“Dan pemimpin agama perlu membuat komuniti mereka berasa selesa.
“Dalam kes saya, apabila saya bercakap kepada jemaah, saya cuba meletakkan mereka dalam situasi di mana mereka tidak akan takut, atau berasa malu untuk datang dan bercakap dengan saya, walaupun tentang seks,” katanya.
Katanya, langkah pertama untuk mencapai matlamat itu ialah membuatkan topik tentang seks dan penderaan seksual “keluar daripada senarai tabu”.
Syed Azmi menyokong tindakan itu dan yang berkata pihak berkuasa agama daripada peringkat komuniti tempatan hingga kebangsaan, perlu mewujudkan persekitaran yang selamat untuk kanak-kanak, terutama di rumah ibadat.
Dan kerana mereka mempunyai platform besar untuk mendekati lebih ramai orang berbanding pihak lain, pemimpin agama perlu mula bekerja dengan organisasi dan pakar yang bekerja keras bagi mewujudkan perlindungan lebih baik untuk kanak-kanak, katanya.
“Apa yang saya mahu daripada pihak berkuasa, adalah mereka mula bercakap lebih mengenai penderaan seksual kanak-kanak. Tetapi sebelum berbuat demikian, mereka perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan.
“Kami tidak mahu mereka membincangkan perkara itu secara membuta tuli. Kami mahu mereka membincangkan perkara itu dengan ilmu.
“Kemudian mereka boleh mengaitkannya dengan apa yang dipelajari dengan ayat agama yang akan membuat kenyataan mereka seiring dengan kehendak agama juga,” katanya.
Syed Azmi berkata beliau mahu terlibat dengan pihak berkuasa agama, untuk mengajak mereka menyertainya eliau dan NGO lain bagi mencari penyelesaian terbaik kepada masalah yang semakin besar ini.
Setakat ini jawapan mereka positif, katanya.
Penolong Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Islam Melaka (Perkim) Dr Zainal Mohamed mengulangi sentimen yang sama, berkata ia masa yang sesuai bagi jabatan agama negeri mendidik orang ramai mengenai topik penderaan seksual kanak-kanak.
Tetapi untuk memastikan ibu bapa terutamanya, menghadiri program sebegini, penyertaan di peringkat komuniti diwajibkan.
“Pada masa ini, program itu dijalankan secara kecil-kecilan, dan hanya di kawasan tertentu. Dan ia tidak meliputi keseluruhan topik. Malah, sebenarnya tidak ramai yang hadir.
“Program ini, di peringkat negeri, perlu dianjurkan sebulan sekali, dan ia diwajibkan untuk ibu bapa dan anak mereka menghadirinya.”